Melakukan Qiamullail dan
bermunajat kepada Tuhan yang Maha Mulia dalam kegelapan malam menyelamatkan
seseorang daripada api neraka.
Ibnu Umar r.a. menceritakan: “Ada
seorang lelaki pada hayat Rasulullah saw selalu memberitahu mimpinya kepada
baginda, sehingga aku juga teringin untuk mendapat mimpi dan boleh menceritakan
kepada Rasulullah saw. Pada ketika itu, aku seorang pemuda yang masih bujang.
Suatu hari, aku tertidur di masjid dan bermimpi dua malaikat membawaku menuju
ke neraka. Di situ, aku melihat sebuah lubang seperti lubang sebuah telaga dan
di dalamnya kelihatan orang yang kukenali, lantas aku pun mengucapkan: “Aku
berlindung kepada Allah daripada api neraka (tiga kali).” Maka kedua
malaikat itu berkata kepadaku: “Janganlah engkau takut.” Kemudian aku
menceritakan mimpi kepada Hafsah dan ketika aku menceritakan kepada Nabi saw,
maka baginda bersabda: “Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah Ibn Umar, jika
dia rajin melakukan Qiamullail.” Kata Salim: “Sejak saat itu, Abdullah Ibn
Umar ra tidak tidur malam kecuali hanya sedikit.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan
Muslim).
Al-Qurtubi ra menjelaskan hadis
di atas: “Nabi saw menilai mimpi Ibnu Umar ra sebagai mimpi yang baik, sebab
dia dibawa melihat neraka, kemudian dia dijauhkan daripadanya dan memaklumkan: “Engkau
tidak perlu takut kepada api neraka.” Ini menunjukkan Ibnu Umar ra sebenarnya
seorang yang soleh, Cuma dia tidak suka melakukan Qiamullail. Maka Abdullah
Ibnu Umar menilai, bahawa melakukan Qiamullail dapat menjauhkan seseorang
daripada siksaan api neraka. Melalui peristiwa itu, Ibnu Umar tidak lagi
meninggalkan Qiamullail. (Fath al-Bari)
As-Syanqithi ra menyimpulkan
hadis di atas bahawa melakukan Qiamullail dapat menjauhkan seseorang daripada
seksaan Allah SWT. Saudaraku, ikutilah jejak orang yang suka melakukan
Qiamullail, semoga kelak dapat dikumpulkan bersama mereka. Lihatlah tanda-tanda
keceriaan pada wajah mereka yang suka melakukan Qiamullail, hati mereka banyak
merenung (tafakur) dan mengambil iktibar, mereka selalu merasa takut, kerana
itu mereka selalu tunduk. Jika malam telah larut, mereka bangun malam dan
memohon ampun pada penghujung malam. Mereka melakukan ibadah malam dengan
membawa pahala yang besar. Tetapi, amat rugi bagi sesiapa yang terlelap dalam
tidurnya semalam. Itulah perjalanan mereka, maka ikutilah jejak mereka dan
janganlah anda terpisah dari arah tuju mereka.
No comments:
Post a Comment