Daripada Abu Hurairah r.a.
bahawasanya Rasulullah s.a.w. menyebutkan seorang lelaki daripada Bani Israil
telah meminta bantuan kawannya agar memberinya hutang sebanyak 1000 dinar. Lalu
kawannya berkata, “Bawalah beberapa orang saksi agar mereka menyaksikan
hutangmu ini.” Dia menjawab, “Cukuplah Allah sebagai saksi bagiku!” Orang itu
berkata, “Datangkanlah seseorang yang menjamin pinjamanmu!” Peminjam itu hanya
menjawab, “Memadailah Allah s.w.t. menjaminku.” Akhirnya kawan itu pun berkata,
“Engkau benar!”
Maka wang itu diberikan kepadanya
dengan janji dibayar balik dalam jangka waktu yang telah ditentukan. Tidak lama
kemudian, orang yang berhutang itu pun berlayar untuk suatu keperluannya.
Apabila sampai tempoh masa yang dijanjikan untuk membayar hutang, dia mencari
kapal yang dapat menghantarnya ke tempat asalnya untuk menjelaskan hutangnya
itu, tetapi gagal.
Maka dia pun mengambil sebatang
kayu yang besar lantas menebuk lubang padanya. Dia memasukkan wang 1000 dinar
ke dalam lubang tersebut beserta surat kepada kawan yang member pinjaman itu.
Lalu ia meratakan kembali kayu tersebut dan memperbaiki keadaannya.
Selanjutnya ia pergi ke laut
seraya berkata, “Ya Allah, sungguh Engkau telah mengetahui bahawa aku meminjam wang kepada sahabatku
sebanyak 1000 dinar. Dia meminta kepadaku seorang penjamin maka aku katakan
waktu itu, “Cukuplah Allah sebagai penjamin.” Dan dia memintaku seorang
saksi maka aku juga berkata, “Cukuplah
Allah sebagai saksi.” Kemudian dia pun berpuas hati dan yakin dengan janjiku
itu. Aku telah berusaha keras mencari kapal untuk mengirimkan kepadanya wang
yang telah aku pinjam, tetapi aku tidak mendapat kapal untuk menghantarku
pulang… kerana itu aku kirimkan wang itu kepadamu.” Lalu dia melemparnya dan pulang.
Sahabat yang memberi hutang itu telah keluar menunggu
kedatangan kapal yang disangkanya membawa peminjam itu. Dia pun keluar rumah
untuk melihat-lihat barangkali ada kapal yang membawa wang untuknya. Tiba di
tepi laut, dia menemui sebatang kayu. Ia lalu mengambilnya untuk keperluan
isterinya. Namun, ketika ia membelah kayu tersebut ia mendapati wang yang
dipinjamkan itu beserta sepucuk surat. Selang beberapa waktu datanglah orang
yang berhutang dengan membawa wang 1000 dinar kepada sahabatnya. Beliau
berkata, “Demi Allah, baru hari ini aku dapat menaiki kapal membawaku pulang
setelah sekian lama ternanti-nanti rombongannya untuk kutumpangi.” Orang yang
memberi hutangnya itu menjawab, “Bukankah engkau telah mengirimkan wang itu
melalui sesuatu?” Dia menjawab, “Memang aku telah memberitahu kepadamu bahawa
aku tidak dapat pulang sebelum ini.” Orang yang memberinya hutang itu berkata,
“Sesungguhnya Allah telah menunaikan apa yang engkau kirimkan kepadaku melalui
kayu. Bawalah wang 1000 dinarmu kembali, moga Allah melimpahimu dengan
keberkatan.”
Masya ALLAH!!
ReplyDelete