Apr 7, 2012
Motivasi: Sebelum Aku Bernikah – Bermulanya Satu Kesedaran
Sepanjang saya mampu mengingat, saya punya memori tentang ‘pernikahan’ yang pertama adalah ketika saya berumur sekitar 5 tahun. Main ‘masak-masak’ dengan rakan perempuan di nurseri tempat saya dijaga. Saya jadi ayah, dan ada seorang pelajar perempuan itu menjadi ibu. Itu ingatan pertama saya berkenaan kahwin, nikah, rumah tangga. Cuma mungkin ketika itu, saya tidak pernah mengetahui istilah-istilah tersebut.
Namun bukanlah itu yang menjadi ‘trigger’ kepada kesedaran saya dalam isu ini.
Yang ‘menolak’ saya untuk memulakan satu kembara yang panjang, menyelam dalam isu cinta dan pembinaan rumah tangga ini adalah apabila satu hari, saya mendengar guru saya berbicara di koperasi sekolah berkenaan seorang pelajar perempuan.
“Untung siapa dapat dia ni. Rajin pergi usrah. Excellent dalam pengajian. Bahkan dia telah bercita-cita untuk menyumbang tenaganya untuk Islam.”
Masa itu saya terfikir, mengapa mesti keuntungan seseorang, diikat dengan ciri-ciri seperti tadi? Selain itu, tidak untungkah?
Di situ kembara saya bermula.
Sembang dengan orang yang lebih tua.
Hari ini, dunia menjumpai satu teknologi bernama laman sosial. Laman sosial zaman saya punya kesedaran itu, hanyalah friendster. Tidak semeriah dan sehebat Facebook hari ini. Zaman itu, ledakan blog pun belum terjadi. Ketika itu saya baru mencecah tingkatan 4. Tahun 2005.
Hari ini, bila orang nak mencari ‘kefahaman’ berkenaan urusan sebegini, Facebook adalah ulama’nya. Blog para ‘doktor cinta’ menjadi terjahanannya.
Namun saya pada ketika itu, tidak bergerak ke alam-alam maya ini. Memandangkan saya sendiri ketika itu adalah pelajar asrama. Akses kepada internet tidak semudah hari ini.
Apa yang saya lakukan apabila ‘wujud persoalan akan rumah tangga?’
Saya pergi kepada mereka yang lebih tua.
Saya masih ingat bagaimana saya suka mendengar bicara guru-guru saya seperti Sir Rosdi Baharom, Cikgu Azmi Bahari, berkenaan baitul muslim, berkenaan pernikahan dan percintaan. Terutama kepada Sir Rosdi yang merangkap mentor kepada usrah saya di MATRI ketika itu, saya sering bertanya kepadanya akan ciri-ciri rumah tangga yang baik, ciri-ciri isteri yang patut dicari dan sebagainya.
Dan Sir Rosdi akan berkongsikan pengalamannya. Begitulah juga Cikgu Azmi. Mereka berkongsi pengalaman rumah tangga mereka. Dari situ saya belajar dan memahami.
Faham Sebelum Cinta.
Berlainan dengan ramai remaja hari ini yang bercinta dahulu sebelum memahami, saya Allah aturkan untuk mendapat kefahaman dahulu sebelum mencintai. Saya kira, semua orang sepatutnya begitu. Menjemput kefahaman terlebih dahulu, berbanding menerjah ke alam itu secara melulu.
Sepanjang umur saya 16 dan 17 tahun, saya sering mengkaji persoalan berkenaan:
“Cinta itu apa?”
“Bagaimana patut bercinta?”
“Mengapa perlu mencari pasangan yang ciri-cirinya sedemikian?”
“Mengapa penting membentuk diri sebelum pernikahan?”
“Anak-anak nanti, perlu diacu bagaimana? Dan apa kaitannya dengan keadaan diri kita?”
“Apakah hubungan rumahtangga yang kita bina, dengan Islam dan ummat?”
Itu antara persoalan-persoalan yang saya cuba selesaikan pada umur saya belasan tahun sebelum mencecah 20-an. Tidak cukup dengan beberapa orang veteran, saya mula mencari lebih ramai veteran lain. Hatta mudir sekolah saya ketika itu, Ustaz Dahlan bin Mohd Zain, tidak saya segan silu merapatinya dan bertanya pendapatnya akan hal-hal ini.
Saya mula memberanikan diri bertanya dan bersembang dengan Abah dan Ummi saya sendiri. Kadangkala sengaja saya menembak soalan seperti: “Abah, macam mana boleh terkahwin dengan Ummi?”
Semua itu adalah untuk saya memahami, bagaimana dan mengapa, dalam isu percintaan dan rumah tangga.
Memahami cinta, dalam rupanya yang sebenar. Realistik.
Bukan dalam bentuknya yang diindah-indahkan seperti di dalam novel, atau kata-kata ‘sempurna’ yang biasa didengari. Kerana saya pada umur itu menyedari bahawa, saya hidup di atas dunia, bukan di dalam syurga.
Akhirnya Menyedari Betapa Besarnya Perkara Ini.
Akhirnya, dalam kembara mencari kesedaran ini, saya mula melihat betapa besarnya perkara ini. Pada umur saya sekitar 19 tahun, saya memahami bahawa perkara ini, yakni cinta, pernikahan dan rumahtangga ini, tidak boleh dilaksanakan dengan sambil lewa. Tidak boleh dilalui dengan sambil lewa.
Hal ini kerana, ketika itu saya mula melihat bahawa hubungan dua manusia, lelaki dan perempuan yang ingin bersatu menjadi keluarga, adalah asas kepada pembinaan ummah itu sendiri.
Saya pada umur itu memandang, sekiranya saya merosakkan perjalanan cinta saya, mengisinya dengan perkara yang Allah larang, membinanya dengan sambil lewa tanpa kesungguhan, maka saya sebenarnya telah menyumbang kepada kerapuhan ummah!
Ya. Saya pada umur itu melihat sedemikian rupa.
Maka dengan kesedaran sedemikian, saya mula merancang masa hadapan saya.
Perjalanan cinta saya.
Rumahtangga saya.
Penutup: Kesedaran Itu Penting.
Sedar bermaksud, sebelum ini kita lena. Lalai. Alpa.
Maka kita ‘tersedar’. Terjaga. Mula ‘aware’. Mula sensitif dan peka.
Kerana itu, kesedaran adalah amat penting.
Namun apakah kita hari ini menyedari?
Ramai yang sekadar seronok dan teruja dalam menerjah cinta, pernikahan dan rumah tangga. Sibuknya hanyalah dalam isu hubungan lelaki dan perempuan, bagaimana cinta sebelum kahwin halal atau tidak, istikharah macam mana, bagaimana perhubungan antara tunang dengan tunang, dan sebagainya.
Tetapi tiada yang menyedari bahawa perkara ini hakikatnya lebih besar daripada semua itu.
Pembinaan ummah!
Apakah yang lebih besar daripadanya?
Bagi yang tidak menyedari, dia akan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang kecil. Bagi yang menyedari, dia akan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang besar.
Saya adalah yang menyedari.
*langitilahi.com
Subscribe to:
Posts (Atom)