..: بسم الله الرحمن الرحيم :..
✿✿ Sifarkan Ikhtilat Bebas ✿✿ |
Diri ini mulakan entri ini dengan selawat ke atas nabi junjungan kita, Muhammad SAW. Alhamdulillah dah banyak perkongsian yang diri ini kongsikan dengan pembaca semua. InsyaAllah, pada kali ini, entri mengenai ikhtilat dalam Islam akan dikupas serta dibincangkan.
Apakah yang dimaksudkan dengan ikhtilat ? Ikhtilat dari segi bahasa bererti meramukan, menggaul sesuatu dengan sesuatu yang lain yakni mencampurkannya. Dari segi istilah syarak pula ikhtilat bermaksud percampuran wanita dengan lelaki iaitu perkumpulan mereka pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau berdua-duaan.
Persoalannya, mengapakah ikhtilat antara lelaki dan perempuan begitu dititikberatkan dalam Islam ? Macam inilah. Kalau pergaulan sesama lelaki dan sesama perempuan tidak perlulah dirisaukan kerana perkara tersebut dijamin tidak akan berlaku perkara maksiat padanya serta telah pun dibenarkan dan dihalalkan oleh syarak. Oleh hal yang demikian, persoalan ikhtilat antara lelaki dan perempuan akan dibincang serta dikupaskan.
Ikhtilat dalam Islam begitu penting bagi menjaga batas-batas antara lelaki dan perempuan. Semua umat Islam wajib menjaganya. Ikhtilat tidak tertumpu kepada mereka yang remaja sahaja malah kepada semua golongan yang telah pun baligh sama ada yang dewasa atau pun yang sudah berusia. Jelas setakat ini ?
✿✿ Jagalah Ikhtilatmu ✿✿ |
Maksud daripada sabda Rasulullah :
"Tidak boleh seseorang wanita itu bermusafir melainkan dia ditemani oleh mahramnya. Dan tidak boleh seseorang lelaki berdua-duaan bersama perempuan kecuali perempuan tadi ditemani oleh mahramnya."
Lihat, betapa urusan ikhtilat ini dititikberatkan oleh Allah dan Rasulullah. Siapalah kita untuk meremehkan perkara ini sebenarnya ? Tepuk dada, tanya iman dan diri.
✿✿ Hindarilah Ikhtilat Bebas ✿✿ |
Bila sebut hal ikhtilat ni, mungkin ramai daripada kalangan masyarakat kita yang memandang remeh serta memandangnya sebelah mata sahaja. Zaman moden sekarang ini, masyarakat sudah tidak lagi memandang soal-soal sebegini. Maklumlah, diliberalkan Islam pada masa sekarang. Jika ada suara yang menyekat apa jua bentuk ikhtilat yang dilarang Islam, dikatakan jumud dan konservatif. Alahai, betapa jumudnya pemikiran masyarakat sekarang.
Apakah hukum ikhtilat sebenarnya ? Pasti semua pembaca tertunggu-tunggu mengenai hal ini. Hukum asal ikhtilat yakni pergaulan antara leiaki dan perempuan ialah haram. Oleh hal yang demikian, ia adalah suatu perkara yang wajib dihindarkan kecuali dalam keadaan terpaksa atau keperluan yang mendesak. Syeikh Abd. Karim Zaidan dalam kitabnya
al-Mufassat fil Mar'ah yang masyhur menyebutkan contoh-contoh keadaan serta hukum ikhtilat seperti di bawah :
- Pertama - Harus kerana terpaksa (dhorurah)
- Kedua - Harus kerana keperluan (hajat)
Bagi keadaan yang kedua pula, ulama berkata bahawa hajat mengambil peranan dhorurah dalam mengharuskan perkara yang haram. Di sana dicatatkan beberapa keperluan yang dianggap mengharuskan ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Antaranya ialah :
- Ikhtilat kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarak. Harus bagi wanita bercampur dengan lelaki semasa berjual-beli, melakukan tawar-menawar, memilih barang dengan syarat tidak berlaku khulwat (berdua-duaan) dan memelihara adab-adab pergaulan.
- Ikhtilat kerana melakukan kerja kehakiman. Wanita harus menjadi hakim dalam perkara selain hudud di sisi Hanafiah dan dalam semua perkara di sisi az-Dzohiriah dan Imam at-Tobari. Sudah termaklum kerja seperti ini mengundang percampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada pendakwa, tertuduh, saksi dan lain-lain.
- Ikhtilat kerana menjadi saksi kerana Islam mengharuskan wanita menjadi saksi dalam kes berkaitan dengan harta dan hak-haknya. Hal ini demikian kerana menjadi saksi akan mendedahkan diri kepada percampuran dengan lelaki ajnabi.
- Ikhtilat kerana amar makruf nahi munkar. Ibnu Hazmin telah menyebutkan dalam kitabnya al-Muhalla' bahawa Umar al-Khattab RA telah melantik as-Syifa' menjadi penguatkuasa perbandaran. Sudah tentu beliau akan bercampur dengan lelaki ketika menjalankan tugasnya.
- Ikhtilat kerana melayan tetamu. Harus bagi wanita melayan tetamu bersama suaminya dan jika ada alasan yang syar'ei seperti tujuan memuliakan tetamu dan sebagainya walaupun terpaksa bercampur dengan tetamu. Dalam hadis Bukhari, ada diriwayatkan bahawa Ummu Usaid melayani Rasulullah SAW dengan menghidangkan makanan dan menuangkan minuman untuk baginda SAW.
- Ikhtilat kerana memuliakan tetamu jika perlu makan bersamanya. Harus bagi wanita makan bersama tetamu kerana tujuan memuliakan tetamu atau tujuan lain yang syar'ei. Muslim meriwayatkan kisah satu keluarga yang ingin memuliakan Rasulullah SAW dan bertamukan baginda. Oleh kerana makanan yang sedikit, mereka memadamkan api dan memperlihatkan bahawa mereka makan bersama-sama banginda. Ini bererti bahawa orang Ansor dan isterinya itu duduk bersama tetamu untuk makan bersama walaupun mereka tidak makan kerana mereka mengutamakan tetamu.
- Ikhtilat dalam kenderaan awam. Harus bagi wanita keluar rumah kerana menunaikan kerja-kerjanya yang diharuskan walaupun terpaksa bercampur dengan lelaki ajnabi seperti keluar untuk menziarahi dua ibu-bapanya, membeli-belah dan ke hospital meskipun ia terpaksa menaiki kenderaan awam yang menyebabkan berlaku percampuran dengan penumpang lain dari kalangan lelaki ajnabi. Dia mungkin duduk atau berdiri ditepinya. Percampuran ini diharuskan oleh keperluan yang syar'ei.
- Ikhtilat kerana kerja-kerja jihad. Antara contoh pergaulan sewaktu jihad ialah seperti membawa air, merawat pesakit dan seumpamanya. Semua perkara tersebut adalah harus dilakukan oleh wanita kerana maslahah syariah. Bukhari menyebut dalam sahihnya daripada Ar Rabei binti Muawwiz katanya : Kami bersama Rasulullah SAW merawat pesakit, memberi minum dan menghantar jenazah yang terbunuh ke Madinah.
- Ikhtilat untuk tujuan belajar atau mendengar nasihat. Antara suasana yang diharuskan, ikhtilat dengan tujuan mengajar agama kerana Bukhari meriwayatan bahawa Rasulullah SAW keluar pada satu Hari Raya dan sembahyang dua rakaat. Setelah selesai solat baginda berpusing mengarah wanita. Baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka bersedekah dan ketika itu bersama baginda SAW ialah Bilal bin Rabah.
- Ikhtilat dalarn suasana yang telah menjadi adat kebiasaan. Tersebut dalarn kitab Muwatta'. Persoalan adakah harus bagi wanita makan bersama hamba atau lelaki bukan mahramnya? Berkata Malik : Tidak ada halangan pada perbuatan tersebut, jika dalam ruang uruf bahawa wanita makan bersama lelaki tersebut. Kadang-kadang wanita makan bersama suami dan mereka yang sering makan bersama suaminya. Antara contoh yang berlaku pada zaman ini ialah percampuran sewaktu menziarahi sanak saudara atau rakan taulan. Dalam suasana yang seperti ini akan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu bilik, makan pada satu meja dan sebagainya. Ini semua diharuskan selama terpelihara adab-adab.
✿✿ Batasilah Ikhtilatmu ✿✿ |
Jaga serta batasilah diri kita dengan mengamalkan beberapa adab ikhtilat. Antara adab ikhtilat dalam Islam ialah :
- Tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan.
- Tidak melihat perempuan atau lelaki secara mengamati dan menaikkan syahwat.
- Memelihara aurat dan kehormatan. Aurat lelaki adalah antara lutut dan pusat manakala aurat perempuan adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan.
- Tidak mengeluarkan kata-kata keji, lucah atau menunjukkan tingkahlaku yang mendorong kepada melakukan maksiat.
- Tidak berdua-duaan terutama di tempat sunyi dan gelap.
✿✿Katakan Tidak Pada Pergaulan Bebas ✿✿ |
Wahai kaum muslimin dan muslimat sekalian, berhati-hatilah kamu dalam berurusan sesama berlainan jantina. Boleh jadi urusan kamu mendapat keredhaan Ilahi atau mendapat yang sebaliknya yakni kemurkaanNya. Oleh hal yang demikian, janganlah kamu meremeh-temehkan hal ikhtilat.
Katakan tidak pada pergaulan bebas sama ada yang bersederhana atau pun yang melampaui batasan syarak. Sayangilah agama kita. Sesungguhnya setiap undang-undang dan hukum-hakam yang diperintahkan ke atas diri kita itu merupakan kebaikan untuk diri kita juga. Jadi, percayailah Tuhan kita. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.
Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mendaoat mardhatillah dan syurgaNya yang abadi. Jangan sia-siakan usia kita dengan perkara yang tidak diredhai Ilahi. Ketahuilah bahawa hidup dan mati kita hanya untukNya. Jadi, marilah sama-sama kita memuhasabah diri kita ke arah kebaikan. Semoga kita semua menjadi insan soleh dan solehah yang muslih dan memuslihkan. InsyaAllah.