Apr 4, 2010

Perkhemahan Integrasi Badar SDAR-SHAMS

        Pada 26 hingga 28  Februari 2010 telah berlangsung satu Perkhemahan Integrasi Badar SDAR- SHAMS. Perkhemahan yang julung-julung kali diadakan itu menarik penyertaan seramai 74 orang para peserta iaitu 51 orang penggerak BADAR  SDAR dan 23 orang BADAR SHAMS. Perkhemahan ini telah diadakan di Brindley Training Camp di Kompleks Uniti, dekat Pasir Panjang  Port Dickson.Perkhemahan ini telah dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Negeri Sembilan.Dengan bertemakan ‘Mengakar Ukhuwah Merimbun Dakwah’, program ini disertai oleh 74 orang penggerak BADAR.Program perkhemahan ini juga telah dipimpin oleh para fasilitator dari ISMA sendiri. Objektif utama program ini ialah mengukuhkan jati diri penggerak BADAR sebagai seorang pemimpin da’ie di samping medan perkongsian pengalaman BADAR antara dua buah sekolah. Perkhemahan ini telah membentuk semangat team-work dan daya ketahanan bagi menghdapi segala cabaran sebagai seorang pemimpin dakwah. Pelbagai aktiviti talah dijalankan seperti membina rakit, latihan ala tentera dan kepimpinan, kuliah agama serta ceramah motivasi.


           Aktiviti ‘outdoor’ yang pertama ialah ‘’war game’’. Setiap kumpulan dibekalkan seberapa plastik minuman untuk diisikan dengan air bagi dijadikan peluru untuk menyerang kumpulan lawan. Setiap kumpulan juga diarahkan supaya mencari bendera kumpulan masing-masing yang disembunyikan berhampiran kumpulan-kumpulan lawan. Pada hari kedua, pihak pengurusan telah menjemput seorang tentera bagi menjalankan aktiviti ala tentera tersebut. Antara aktiviti yang diadakan oleh tentera berpangkat mejar itu ialah ‘’makan ekor ular’’. Kemudian, para peserta diarahkan untuk melakukan senaman seperti tekan tubi, bangkit tubi dan lompat katak, serta banyak lagi. Pada petang hari yang sama juga telah diadakan aktiviti kemuncak iaitu merakit atau ‘’rafting’’. Para peserta diberi taklimat dalam pembinaan rakit, kemudian setiap kumpulan membina rakit sendiri. 


              Majlis penutup program ini telah dirasmikan oleh Pengetua Cemerlang SDAR iaitu Tn. Hj Zakaria b. Md. Zin. Beliau mengingatkan kepentingan menjadi pemimpin yang baik dan contoh kepada para pelajar yang lain.Pada masa yang sama beliau menggesa para penggerak BADAR bersama-sama membendung gejala negatif dalam kalangan para pelajar. Turut serta menghadiri majlis penutup tersebut ialah Tn. Hj. Norazam b. Hj. Nayan mewakili SMKA Sheikh Haji Mohd Said.Peserta terbaik perkhemahan telah diberikan kepada saudara Mohd Shafizal bin Shafie dari Sekolah Dato' Abdul Razak. 


                                          Peserta Perkhemahan Integrasi Badar SDAR-SHAMS



Posted by Amirul Akhmal and Nazmi


KURSUS LATIHAN NAQIB 2010

Program Kursus Latihan Naqib (KLANA) telah diadakan pada 29-31 Januari 2010. Seramai 53 orang pelajar muslimin dan 81 orang pelajar muslimat telah terpilih menjadi naqib dan naqibah bagi usrah BADAR bagi tahun 2010 ini.

Program KLANA ini direncanakan bagi menyediakan pemimpin-pemimpin usrah yang dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran yang utuh mengenai addin yang sebenar.Mereka turut didedahkan dengan kepimpinan yang sebenar menurut Islam iaitu kepimpinan melalui tauladan yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan dengan jayanya depanjang progran berlangsung. Nasyid bertajuk Bingkai Kehidupan nyanyian Shoutul Harakah telah menjadi perangsang bagi para nuqaba' dalam aktiviti dakwah mereka. Video Sang Murabbi yang ditayangkan telah mendedahkan kepada para nuqaba' kehidupan sebenar seorang da'ie yang zuhud dalam hayatnya. Slot Sidang Pleno pula telah mengasah minda para nuqaba' dalam menyampaikan sesuatu hujah yang hebat.

Program yang disertai beberapa orang alumni yang turut membantu ini telah berakhir pada hari Ahad, 31 Januari 2010. Seramai 134 orang nuqaba' telah diberikan tag sebagai naqib dan naqibah usrah BADAR 2010. Para nuqaba' telah melafazkan bacaan ikrar sebagai lambang sumpah dan janji mereka sebagai pemimpin-pemimpin Islam.


Allahu ghayatuna
Ar-Rasul qudwatuna
Al-Quran dusturna
Al-jihadu sabiluna
Al-mautu fi sabilillah
Asma amanina...






Posted by: Amira Nabilah Mohd Azmi (5Islah)

Sambutan Maulidurrasul

Jumaat, 12 Mac 2010 – Bersamaan 26 Rabiulawwal 1431Hijriah SMKA Sheikh Haji Mohd Said telah mengadakan sambutan Maulidurrasul peringkat sekolah. Perarakan yang melibatkan semua pelajar bermula seawal 7.45 pagi di hadapan Astaka Anugerah SMKA SHAMS sehingga ke Dewan Ibnu Abbas.


Perarakan turut disertai dengan bacaan selawat yang diketuai oleh Guru Penolong Kanan 1 SMKA SHAMS, Tuan Haji Norazam bin Nayan. Perarakan ini sangat menitik beratkan kekemasan serta kerjasama dalam kalangan pelajar.

Pertandingan kain rentang antara kelas turut dianjurkan dengan tema, “ Remaja Soleh Musleh Menjana Kesejahteraan Ummah”. Pertandingan yang diadili mengikut tingkatan telah dijuarai oleh Tingkatan 1 Ikhlas, 2 Islah dan 3 Ikhlas bagi menengah rendah. Manakala bagi kategori menengah atas pula ialah Tingkatan 4 Ikram, 5 Islah dan 6 Atas Ikhlas.



Program seterusnya ialah ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Kusyairi Hamsan. Sambutan Maulidurrasul diakhiri dengan dua persembahan sketsa para pelajar lelaki.

Antara objektif program-program yang telah dilaksanakan ialah menzahirkan syiar kecintaan kepada Junjungan Besar Rasullullah S.A.W, menyemarakkan budaya ukhuwah dan kasih sayang sesama umat Islam serta menghidupkan aspek kesenian Islam dengan cara menghidupkan penggunaan tulisan jawi. Semoga program bermanfaat seperti ini dapat lagi diteruskan pada masa akan datang..



*Khairussyifa’ ٍٍShukri- 5 ikhlas