Hadis Muslim, daripada Abu Hurairah ra, katanya Nabi saw
bersabda:
Sesungguhnya di antara manusia yang mula-mula dibicarakan
dan dihukum pada hari kiamat ialah, pertama, orang yang gugur syahid. Dia
dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya satu persatu nikmat-Nya, lalu
dia pun mengakui menerimanya. Allah SWT bertanya kepadanya, “Maka apa engkau
telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?”
Dia menjawab, “Aku berperang kerana mematuhi perintah-Mu,
sehingga aku gugur syahid.”
Allah berfirman, “Engkau berdusta. Akan tetapi engkau
berperang supaya orang mengatakan engkau berani, dan telahpun dikatakan
demikian.” Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga
dihumbankan ke dalam neraka.
Kedua, orang yang belajar ilmu dan mengajarnya serta membaca
Quran. Dia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmat-Nya
satu persatu, lalu dia mengakui menerimanya. Allah SWT bertanya, “Maka apa
engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?”
Dia menjawab, “ Aku belajar ilmu dan mengajarnya serta
membaca Quran kerana mengharapkan keredhaan-Mu.”
Allah berfirman, “Engkau berdusta. Akan tetapi engkau
mempelajari ilmu supaya orang mengatakan engkau alim, dan engkau membaca Quran
supaya orang mengatakan engkau seorang qari, dan telahpun dikatakan demikian.”
Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga dihumbankan ke
dalam neraka.
Ketiga, orang yang telah dimewahkan Allah hidupnya serta
diberi-Nya sebahagian dari segala jenis harta benda kekayaan. Dia dibawa
mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmat-Nya satu persatu, lalu
dia mengakui menerimanya. Allah SWT bertanya, “Maka apa engkau telah lakukan
pada nikmat-nikmat itu?”
Dia menjawab, “Aku tidak tinggalkan satu pun jalan yang
Engkau suka dibelanjakan kekayaan padanya melainkan aku belanjakan padanya,
kerana mengharapkan rahmat-Mu.”
Allah Taala berfirman, “Engkau berdusta. Akan tetapi engkau
belanjakan harta kekayaanmu supaya orang mengatakan engkau itu seorang
dermawan, dan telahpun dikatakan demikian.” Kemudian dia dihukum lalu diseret
dengan tertiarap dan akhirnya dihumbankan ke dalm neraka.
[Mustika Hadis Rasulullah, 2000, Bahagian Hal Ehwal Islam,
Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, ms 115-117]
No comments:
Post a Comment