Feb 27, 2010

BergUrauLah KamU, sEpeRti Rasulullah

Dikisahkan dalam sebuah riwayat, ada seorang lelaki meminta pada Rasulullah agar Rasulullah membawanya di atas kenderaan. Kemudian, Rasulullah bersabda, "Aku akan membawamu di atas anak unta."

Orang tersebut menjadi hairan kerana ia hanya melihat seekor unta dewasa, bukan anak unta. Kemudian, Rasulullah bersabda, "Bukankah yang melahirkan unta itu seekor unta juga?" (HR Abu Dawud & Tirmidzi).

Bergurau atau berkelakar adalah perencah dalam berkomunikasi yang biasa kita lakukan dalam pergaulan seharian. Sebagai tanda persahabatan, hal tersebut sudah menjadi lumrah dalam percakapan seseorang. Di samping dapat menghibur, bergurau juga dapat menjadikan suasana semakin akrab, menghilangkan rasa bosan, dan meredakan amarah, kerana dalam berkelakar muncullah benih persahabatan dan persaudaraan.



Pernah suatu ketika, Sufyan bin Uyainah ditanya apakah bergurau itu termasuk perbuatan tercela? Ia menjawab tidak, "Bahkan, termasuk sunnah bagi yang dapat melakukannya sesuai dengan tuntutannya."
Dalam Surah An-Najmu (53) ayat 43, dijelaskan bahawasanya tertawa dan menangis adalah fitrah yang Allah s.w.t. anugerahkan pada manusia. Rasulullah s.a.w. pun menyebutkan bahawa melakukan perbuatan yang menyenangkan orang lain boleh dikategorikan sebagai kebajikan. "Senyummu untuk saudaramu adalah kebajikan (sedekah)." (HR Imam Ahmad).

Untuk mewujudkan suasana kelakar, hendaknya seseorang menjauhi perbuatan yang tidak terpuji, antaranya mengungkapkan perkataan kotor, dusta, berolok-olok, dan merendah-rendahkan orang lain hanya demi menjadikan suasana kelakar dan orang lain tertawa. Nabi s.a.w. bersabda, "Celakalah orang yang bercakap lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa." (HR Abu Dawud).

Selain perbuatan tersebut mengandungi cela dan dosa, Rasulullah sendiri tak pernah berkelakar dengan para sahabat kecuali di dalamnya mengandungi kebenaran dan fakta. Hal tersebut dapat kita temui dalam hadith Abu Hurairah r.a. bahawa para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah bergurau dengan kami." Rasulullah s.a.w. menjawab, "Sesungguhnya tidaklah aku berbicara, kecuali yang benar." (HR Tirmidzi).
Selain hadith di atas, ada satu contoh kelakar Rasulullah yang sangat terkenal, iaitu ketika Rasulullah didatangi oleh seorang nenek tua yang bertanya, "Apakah kelak saya boleh masuk syurga?" Nabi pun menjawab, "Tidak akan ada orang tua di dalam syurga."

Mendengar jawapan itu, spontan nenek tersebut menangis. Lalu Rasulullah berkata kepadanya bahawa kelak tidak ada orang tua di dalam syurga kerana semua ahli syurga akan kembali belia. Demikianlah bergurau ala Rasulullah, penuh dengan didikan.