Remaja dan Pengorbanan
i-Masa lalu
Antara faktor kejayaan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang penuh dengan kisah perjuangan dan pengorbanan dalam segenap sudut adalah dengan kehadiran jiwa-jiwa remaja disekeliling dakwah baginda. Jiwa yang mendidih dengan pelbagai perasaan. Cinta dan kasih sayang. Tingginya semangat dan miliki tubuh yang kuat.
Rasulullah s.a.w. sendiri pada masa mudanya mengorbankan masa keremajaanya demi untuk berdikari tanpa menyusahkan bapa saudaranya dengan mengembala kambing dan membawa barang dagangan Saidatina Khadijah untuk diniagakan. Lihat pula anak remaja, Saidina Ali terlibat dalam perjuangan dan pengorbanan terhadap menegakkan risalah kebenaran. Beliau sanggup menjadi galang ganti di tempat tidur Rasulullah s.a.w. sewaktu Nabi memulakan misi hijrah bersama Abu Bakr.
Dalam medan peperangan Usamah Bin Zaid pemuda yang tiada tandingan. Dengan kecekapan dalam pimpinan dan ketajaman strategi peperangan beliau diangkat menjadi panglima perang meski dalam usia muda belumpun cukup 20-an. Teliti pula zaman terkemudian, kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh memimpin bala tentera yang ramai hingga berjaya menerobos tembok kota Constantinople dalam pada usia yang juga muda. Pastinya, perkara yang sama bagi kejayaan tokoh-tokoh ini adalah pengorbanan jiwa mereka untuk bersedia bagi membina peribadi yang boleh menjadi satu nilai contoh pada manusia seterusnya.
ii-Masa Kini
Era globalisasi kini, kita boleh lihat sendiri keadaan remaja kita yang begitu meruncingkan. Walaupun bukanlah ia bersifat kepada seluruh remaja, tetapi perjalanan hidup remaja hari ini bagai tiada tujuan yang jelas. Hidup dipenuhi dengan kelalaian dalam urusan keduniaan, dibuai hangatnya perasaan dan pelbagai onar yang menjauhkan manusia dengan Tuhan. Sedangkan Allah berfirman:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adz-Zariyat:56)
Justeru, menghidupkan jiwa pengorbanan dalam diri adalah suatu tuntutan kerana manusia dicipta bukan untuk berseronok dan berehat semata-mata tetapi melakukan ibadah yang mencakupi ruang lingkup yang mendalam maksudnya. Realiti hidup mewah, selesa dan cukup dengan apa yang ada merupakan satu bentuk jajahan minda yang boleh menjadikan remaja alpa dengan sensitiviti keadaan,batasan pergaulan dan hiburan serta gaya hidup.
Remaja boleh memilih untuk terus unggul dalam cita-cita dan perjuangan hidup. Dan remaja juga boleh memilih untuk terus dibelenggu dengan jiwa santai, tiada perancangan hidup, kerdil cita-cita dan tandus dengan jiwa perjuangan. Pilihan ini sebenarnya penting kerana ia menentukan corak hidup remaja, bangsa dan umatnya.
Tahap keremajaan adalah putaran hidup yang amat sukar lagi mencabar kerana gejolak jiwa remaja bagai api yang membakar kayu menjadi bara. Dalam situasi ini remaja amat ideal dengan sesuatu perkara, ingin meniru sesuatu perbuatan yang mana dalam fikirannya baik yang boleh menonjolkan dirinya, rasa ingin mencuba yang tinggi dan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan, memiliki jiwa perwira yang hebat malah kadang-kadang diselangi perasaan ‘memberontak’ yang membuak-buak.
Sekiranya elemen asasi ini berada dalam olahan yang negatif ia bakal merosakkan potensi remaja. Sebaliknya jika elemen ini diadun dengan nilai-nilai perjuangan dan pengorbanan yang positif, ia bakal membimbing remaja menjadi tenaga dewasa yang mempunyai potensi besar untuk maju dan berjaya.
Kepentingan jiwa pengorbanan perlu ada hubungkait dengan bagaimana remaja memusnahkan kehidupannya dalam usia umur yang awal kerana kesan jangka panjangnya ialah kehancuran bangsa dan negaranya sendiri bahkan lebih teruk melibatkan agama. Jiwa pengorbanan harus dapat mengajak remaja berfikir betapa dominannya generasi muda yang berkredebiliti, memiliki daya juang yang tinggi, pentingkan ilmu pengetahuan, tidak mudah terhanyut dengan arus hidup yang membinasakan,serta berupaya membezakan baik-buruk dan halal-haram.
Pengorbanan dua hala
Pengorbanan dua hala adalah hubung balas dua pengorbanan. Ibubapa dan anak-anak, masyarakat dan negara dan sebagainya.Dewasa kini, antara kes yang amat meruncingkan adalah hubungan anak-anak dengan ibubapa masing-masing. Melihat di dada akhbar berita anak mencaci orang tuanya, memukul hingga cedera tidak kurang ada juga yang membunuh mereka merupakan salah satu tanda kiamat semakin dekat.
Oleh itu, jiwa pengorbanan haruslah memandu remaja mengenang pengorbanan yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu seperti ibu bapa yang bersusah payah membesar dan memberi pendidikan kepada kita supaya remaja memahami bahawa mereka juga bakal meningkat dewasa dan generasi ini perlu diteruskan. Justeru, mereka akan lebih menghargai erti nilai pengorbanan kerana mereka juga bakal bergelar ibubapa.
Tidakkah kita pernah dengar rakaman Allah dalam Al-Quran menggambarkan kisah Ibrahim a.s menyembelih anaknya, Ismail a.s yang taat kepada ayahnya itu di mana keduanya redha dengan perintah Allah yang merupakan lambang keagungan suatu pengorbanan.
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (As-Saffat:102)
Jika terjun ke alam realiti, manusia akan sedari telah banyak pengorbanan ibubapa kepada anak-anak mereka. Masakan tidak, lihat anak-anak yang bisa hidup mewah, berupaya menyambung pelajaran ke luar atau dalam negara, berkebolehan meneruskan kehidupan adalah bersumberkan insan bernama ibu dan bapa. Justeru, sedarlah jiwa muda (anak-anak), susah tiba peribadi Ismail a.s disemat dalam jiwa iaitu dengan bersedia membalas segala jasa.
Jalan Keluar
Para remaja harus memiliki keinsafan bahawa kita diciptakan oleh Allah s.w.t. mempunyai visi dan misi yang perlu mereka laksanakan. Para remaja harus mampu membina jiwa kehambaan yang tinggi dengan mendidik jiwa patuh dan taat terhadap sesuatu yang baik dan bermanfaat. Allah menjadikan seluruh yang ada didunia ini bertunjangkan kepatuhan dan ketaatan masing-masing terhadap ketentuan-Nya atau sunnatullah.
Sehubungan itu, berlaku ketertiban, ketepatan, keseimbangan dan sistem dan hal yang sama juga harus ada pada manusia khususnya remaja supaya sesuatu yang kita lakukan adalah atas dorongan jiwa kehambaan yang tinggi supaya watak kekhalifahan nanti mampu mengurus hidup, rahmah dan nikmat Allah yang banyak dengan amanah yang tinggi terhadap pedoman dan titah perintah Allah s.w.t.
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” (Al-Baqarah:30)
Tujuan manusia adalah mentadbir alam atau disebut sebagai khalifah. Justeru, perkara yang mendidik jiwa (tazkiyatun nafs) amat dominan perlu dipupuk dalam jiwa remaja kerana mereka adalah asset yang amat bernilai yang menjadi agen perubahan bagi agama, bangsa dan negara.
Aspek pengorbanan dan kelebihan
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga” (At-Taubah:111)
Pengorbanan dalam kehidupan insan tidak dapat lari daripada dua faktor yang amat dicintai manusia iaitulah nyawa dan segala yang berkaitan dengannya (kehidupan) serta harta yang merupakan penjana bagi nyawa tersebut. Atas sebab itu, Al-Quran hanya menyebutkan dua elemen penting ini kerana menjadi tunggak kepada segala jenis pengorbanan insane
Natijahnya, kelebihan yang manusia bakal peroleh adalah syurga yang tidak tergambar nikmatnya, tidak pernah didengar oleh mana-mana telinga, tidak pernah terlihat pada pandangan mata. Begitulah gambaran ‘kemewahan’ bagi manusia yang cekal jiwa dan berusaha berkorban jiwa dan raga dalam kehidupan.
sumber; langitilahi.com