Nov 30, 2012

Video- Basuh Pinggan

Mari kita sama-sama ambil input-input yg berguna dalam video ni memandangkan sekarang ni pun cuti sekolah. Jom layan....


Nov 15, 2012

Blog BADAR sedang dalam proses kemaskini.

Oct 30, 2012

Roh Pengorbanan Dalam Jiwa Insan




Remaja dan Pengorbanan

i-Masa lalu

Antara faktor kejayaan  Rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang penuh dengan kisah perjuangan dan pengorbanan dalam segenap sudut adalah dengan kehadiran jiwa-jiwa remaja disekeliling dakwah baginda. Jiwa yang mendidih dengan pelbagai perasaan. Cinta dan kasih sayang. Tingginya semangat dan miliki tubuh yang kuat.

Rasulullah s.a.w. sendiri pada masa mudanya mengorbankan masa keremajaanya demi untuk berdikari tanpa menyusahkan bapa saudaranya dengan mengembala kambing dan membawa barang dagangan Saidatina Khadijah untuk diniagakan. Lihat pula anak remaja, Saidina Ali terlibat dalam perjuangan dan pengorbanan terhadap menegakkan risalah kebenaran. Beliau sanggup menjadi galang ganti di tempat tidur Rasulullah s.a.w. sewaktu Nabi memulakan misi hijrah bersama Abu Bakr.

Dalam medan peperangan Usamah Bin Zaid pemuda yang tiada tandingan. Dengan kecekapan dalam pimpinan dan ketajaman strategi peperangan beliau diangkat menjadi panglima perang meski dalam usia muda belumpun cukup 20-an. Teliti pula zaman terkemudian, kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh memimpin bala tentera yang ramai hingga berjaya menerobos tembok kota Constantinople dalam pada usia yang juga muda. Pastinya, perkara yang sama bagi kejayaan tokoh-tokoh ini adalah pengorbanan jiwa mereka untuk bersedia bagi membina peribadi yang boleh menjadi satu nilai contoh pada manusia seterusnya.



ii-Masa Kini

Era globalisasi kini, kita boleh lihat sendiri keadaan remaja kita yang begitu meruncingkan. Walaupun bukanlah ia bersifat kepada seluruh remaja, tetapi perjalanan hidup remaja hari ini bagai tiada tujuan yang jelas. Hidup dipenuhi dengan kelalaian dalam urusan keduniaan, dibuai hangatnya perasaan dan pelbagai onar yang menjauhkan manusia dengan Tuhan. Sedangkan Allah berfirman:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adz-Zariyat:56)

Justeru, menghidupkan jiwa pengorbanan dalam diri adalah suatu tuntutan kerana manusia dicipta bukan untuk berseronok dan berehat semata-mata tetapi melakukan ibadah yang mencakupi ruang lingkup yang mendalam maksudnya. Realiti hidup mewah, selesa dan cukup dengan apa yang ada merupakan satu bentuk jajahan minda yang boleh menjadikan remaja alpa dengan sensitiviti keadaan,batasan pergaulan dan hiburan serta  gaya hidup.

Remaja boleh memilih untuk terus unggul dalam cita-cita dan perjuangan hidup. Dan remaja juga boleh memilih untuk terus dibelenggu dengan jiwa santai, tiada perancangan hidup, kerdil cita-cita dan tandus dengan jiwa perjuangan. Pilihan ini sebenarnya penting kerana ia menentukan corak hidup remaja, bangsa dan umatnya.

Tahap keremajaan adalah putaran hidup yang amat sukar lagi mencabar kerana gejolak jiwa remaja bagai api yang membakar kayu menjadi bara. Dalam situasi ini remaja amat ideal dengan sesuatu perkara, ingin meniru sesuatu perbuatan yang mana dalam fikirannya baik yang boleh menonjolkan dirinya, rasa ingin mencuba yang tinggi dan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan, memiliki jiwa perwira yang hebat malah kadang-kadang diselangi perasaan ‘memberontak’ yang membuak-buak.

Sekiranya elemen asasi ini berada dalam olahan yang negatif ia bakal merosakkan potensi remaja. Sebaliknya jika elemen ini diadun dengan nilai-nilai perjuangan dan pengorbanan yang positif, ia bakal membimbing remaja menjadi tenaga dewasa yang mempunyai potensi besar untuk maju dan berjaya.

Kepentingan jiwa pengorbanan perlu ada hubungkait dengan bagaimana  remaja memusnahkan kehidupannya dalam usia umur yang awal kerana kesan jangka panjangnya ialah kehancuran bangsa dan negaranya sendiri bahkan lebih teruk  melibatkan agama. Jiwa pengorbanan harus dapat mengajak remaja berfikir betapa dominannya generasi muda yang berkredebiliti, memiliki daya juang yang tinggi, pentingkan ilmu pengetahuan, tidak mudah terhanyut dengan arus hidup yang membinasakan,serta berupaya membezakan baik-buruk dan halal-haram.



Pengorbanan dua hala

Pengorbanan dua hala adalah hubung balas dua pengorbanan. Ibubapa dan anak-anak, masyarakat dan negara dan sebagainya.Dewasa kini, antara kes yang amat meruncingkan adalah hubungan anak-anak dengan ibubapa masing-masing. Melihat di dada akhbar berita anak mencaci orang tuanya, memukul hingga cedera tidak kurang ada juga yang membunuh mereka merupakan salah satu tanda kiamat semakin dekat.

Oleh itu, jiwa pengorbanan haruslah memandu remaja mengenang pengorbanan yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu seperti  ibu bapa yang bersusah payah membesar dan memberi pendidikan kepada kita supaya remaja memahami bahawa mereka juga bakal meningkat dewasa dan generasi ini perlu diteruskan. Justeru, mereka akan lebih menghargai erti nilai pengorbanan kerana mereka juga bakal bergelar ibubapa.

Tidakkah kita pernah dengar rakaman Allah dalam Al-Quran menggambarkan kisah Ibrahim a.s menyembelih anaknya, Ismail a.s yang taat kepada ayahnya itu di mana keduanya redha dengan perintah Allah yang merupakan lambang keagungan suatu pengorbanan.

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (As-Saffat:102)

Jika terjun ke alam realiti, manusia akan sedari telah banyak pengorbanan ibubapa kepada anak-anak mereka. Masakan tidak, lihat anak-anak yang bisa hidup mewah, berupaya menyambung pelajaran ke luar atau dalam negara, berkebolehan meneruskan kehidupan adalah bersumberkan insan bernama ibu dan bapa. Justeru, sedarlah jiwa muda (anak-anak), susah tiba peribadi Ismail a.s disemat dalam jiwa iaitu dengan bersedia membalas segala jasa.

Jalan Keluar

Para remaja harus memiliki keinsafan bahawa kita diciptakan oleh Allah s.w.t. mempunyai visi dan misi yang perlu mereka laksanakan. Para remaja harus mampu membina jiwa kehambaan yang tinggi dengan mendidik jiwa patuh dan taat terhadap sesuatu yang baik dan bermanfaat. Allah menjadikan seluruh yang ada didunia ini bertunjangkan kepatuhan dan ketaatan masing-masing terhadap ketentuan-Nya atau sunnatullah.

Sehubungan itu, berlaku ketertiban, ketepatan, keseimbangan dan sistem dan hal yang sama juga harus ada pada manusia khususnya remaja supaya sesuatu yang kita lakukan adalah atas dorongan jiwa kehambaan yang tinggi supaya watak kekhalifahan nanti mampu mengurus hidup, rahmah dan nikmat Allah yang banyak dengan amanah yang tinggi terhadap pedoman dan titah perintah Allah s.w.t.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” (Al-Baqarah:30)

Tujuan manusia adalah mentadbir alam atau disebut sebagai khalifah. Justeru, perkara yang mendidik jiwa (tazkiyatun nafs) amat dominan perlu dipupuk dalam jiwa remaja kerana mereka adalah asset yang amat bernilai yang menjadi agen perubahan bagi agama, bangsa dan negara.



Aspek pengorbanan dan kelebihan

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga” (At-Taubah:111)

Pengorbanan dalam kehidupan insan tidak dapat lari daripada dua faktor yang amat dicintai manusia iaitulah nyawa dan segala yang berkaitan dengannya (kehidupan) serta harta yang merupakan penjana bagi nyawa tersebut. Atas sebab itu, Al-Quran hanya menyebutkan dua elemen penting ini kerana menjadi tunggak kepada segala jenis pengorbanan insane

Natijahnya, kelebihan yang manusia bakal peroleh adalah syurga yang tidak tergambar nikmatnya, tidak pernah didengar oleh mana-mana telinga, tidak pernah terlihat pada pandangan mata. Begitulah gambaran ‘kemewahan’ bagi manusia yang cekal jiwa dan berusaha berkorban jiwa dan raga dalam kehidupan.

sumber; langitilahi.com

Sep 5, 2012

Erti Kemerdekaan Menurut Perpekstif Islam




Kemerdekaan menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:

الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله, ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة:

Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Rub'ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.

Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?

Ini bermakna: maksud kemerdekaan yang sebenar ialah:


Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada:
Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya.
Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum allah swt bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.


Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia samada:
  1. Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.
  2. Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang  
      dibenarkan oleh Syariat.

Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:
  1. Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat                                          
      persinggahan.
  2. Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang 
      sebenar.


Dapat disimpulkan secara ringkas maksud kemerdekaan:
Membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia.
Membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan islam.



Selamat Menduduki Pra-SPM 2012.


Kepada semua calon SPM 2012, pihak BADAR mengucapkan SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM. Berusahalah selagi mana terdaya. Bertawakallah untuk hasil yang sempurna.

Sep 2, 2012

Published with Blogger-droid v2.0.9

Aug 4, 2012

Maknakannlah Ramadan kita.


Bagaimanakah memaknakan Ramadhan?


Ramai menilai maksud memaknakan Ramadhan adalah dengan menyumbat pelbagai amalan di dalamnya. Saya tidak berkata itu salah. Namun saya memandang kepada skop yang lebih luas dan lebih besar. Apakah Ramadhan ini Allah SWT ciptakan agar ummat Islam menyumbat amal mereka sebanyak-banyaknya di bulan itu?


Ahsanu bukan Aksaru.


Allah SWT dengan jelas memberikan pesan kepada kita di dalam Surah Al-Mulk ayat 2:


“Dan Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan, untuk melihat dari kalangan kamu siapakah yang terbaik amalannya.”


Yang terbaik amalannya. Allah SWT menggunakan kalimah ahsanu. Bukan aksaru(terbanyak).


Justeru, hakikatnya, amal yang kemas, bermakna, memberikan kesan, adalah lebih baik kita usahakan untuk capai, berbanding kita gelojoh, tergesa-gesa menambah amalan namun amalan-amalan itu langsung tidak memberikan makna pada diri kita, seterusnya selepas Ramadhan langsung tidak memberikan kesan di dalam kehidupan kita.





30 juzu’ Al-Quran dan Beratus Rakaat Tarawih.


Di dalam Ramadhan, berlumba manusia menghabiskan 30 juzu’ Al-Quran. Bahkan ada yang khatam 2-3 kali. Begitulah juga resminya bulan Ramadhan, manusia bangkit menunaikan tarawih. Ada yang 8 Rakaat, ada yang 20 rakaat. Yang mana kalau didarab dengan 30 hari, menjadikan bilangan rakaat itu mencapai ratusan. Itu belum dikira dengan pelbagai amalan seperti menjauhi maksiat telinga, tangan, mata dan kaki, seterusnya melakukan amalan-amalan kebaikan yang lain seperti bersedekah, membantu orang, berselawat, solat fardhu, solat-solat sunat yang lain dan sebagainya.


Namun anehnya, kebaikan-kebaikan yang disumbat di dalam Ramadhan itu tidak memberikan kesan di dalam kehidupan kita hari ini. Keluar dari Ramadhan, kita seakan-akan manusia yang sama seperti sebelum kita masuk ke dalam Ramadhan. Sama. Seakan-akan 30 juzu’ Al-Quran tidak pernah kita baca, seakan-akan ratusan tarawih di dalam Ramadhan tidak pernah kita dirikan.


Kita masih menjadi seorang muslim yang pasif, yang tidak memberikan manfaat kepada Islam, yang jauh daripada Allah SWT, yang banyak melakukan keingkaran, yang menjadi hamba kepada sistem jahiliyyah, yang masih menyokong perkara-perkara yang melalaikan dan sebagainya.


Seakan-akan, graf ummat Islam itu, mencanak hanya kala Ramadhan, dan kemudiannya menjunam jatuh pada bulan-bulan yang lain.


 Golongan Yang Celaka.


Menjadi manusia yang sebegini, sepatutnya kita rasa gentar dan takut. Kerana Rasulullah SAW ada bersabda:


“Telah datang Malaikat Jibril dan dia berkata: Celakalah seseorang yang masuk ke bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah Amin! Maka aku berkata: Amiin.” Hadith Riwayat Bukhari.


Ya. Bukan perkara yang kecil.


Sepatutnya kita masuk ke dalam Ramadhan, keluar menjadi hamba yang Rabbani. Namun kita hanya tahu menyumbatkan amal, melambakkannya, dan bila keluar dari Ramadhan, menjadi manusia yang seakan-akan Ramadhan tidak punya makna yang signifikan di dalam hidupnya pada 11 bulan yang lain. Bukankah itu sangat celaka?


 Maka Kita Maknakan Ramadhan Kita.


Biarlah tarawih kita 8 rakaat, dan bacaannya tidak panjang. Tetapi kita memahami apa yang kita baca. Mendalami apa yang kita sebut. Biar ianya menjadi bekalan untuk lebih memahami mengapa Islam itu agama yang benar, dan mengapa kita perlu mengamalkannya sebagai cara hidup. Agar solat-solat kita memberikan makna dalam kehidupan kita, agar kita merasai ubudiyah, pengabdian diri kita kepada Allah SWT secara sebenar-benarnya.


Biarlah kita tidak habis 30 juzu’ Al-Quran, asalkan kita memahami apa yang kita baca. Kita memperbaiki tajwid kita. Kita baca dengan tartil dan faham. Agar ayat-ayat itu dapat memberikan kesan ke dalam kehidupan kita. Dapat memberikan kesedaran untuk menguatkan kita, untuk memotivasikan kita, agar terus rapat dengan Al-Quran selepas keluar dari Ramadhan.


Biarlah amal kita kelihatan sedikit, namun ianya adalah yang terbaik. Yang memberikan gegaran di dalam jiwa kita. Yang mampu menyedarkan kepada kita bahawa kita ini adalah hambaNya. Yang mengetuk hati kita, yang membuatkan kita hendak membawa perasaan ini ke 11 bulan yang lainnya.


Kita usahakan ibadah-ibadah dalam bentuk yang lebih produktif, seperti membuang keburukan(maksiat dan keingkaran) kita kepada Allah SWT. Jika kita kaki merokok, kita fokuskan kepada mengurangkan batang rokok kita dalam rangka hendak meninggalkan rokok. Jika kita kaki gossip, kaki berkata kotor dan sebagainya, kita target untuk meninggalkan perbuatan itu dengan menjadikan Ramadhan sebagai titik motivasi kita. Kita tambah juga amalan kita. Target Ramadhan ini, jika selama ini tidak biasa membaca Al-Quran, maka kala Ramadhan ini kita targetkan agar diri kita biasa membaca Al-Quran selepas maghrib. Sekurang-kurangnya satu muka surat. Jika sebelum ini Solat Fardhu kita tunggang langgang, kita memperbaiki disiplin kita terhadap solat fardhu. Jika Solat Fardhu sudah boleh didisiplinkan, kita tingkatkan kepada solat sunat rawatib, solat sunat dhuha, solat sunat taubat dan sebagainya untuk kita biasakan.


Semua ini nampak ringan. Namun jika berjaya dibiasakan, ia mudah dibawa keluar ke bulan-bulan yang lain selain Ramadhan, sekaligus membentuk diri kita menjadi hambaNya yang terbaik.


Pastikan diri ada peningkatan. Baik dalam tambahan amal kebaikan, atau pengurangan amal keburukan. Agar kecelakaan bukan menjadi milik kita.


 Penutup: Meningkatkan Graf Ummah.


Kita sudah melalui berapa Ramadhan?


20 kali?


10 kali?


Satu soalan yang patut kita tanya selepas menjawab soalan itu adalah:


“Di manakah kesan belasan, puluhan Ramadhan itu, di dalam diri kita hari ini?”


Ya, soalan ini menyedarkan kita, seakan-akan Ramadhan tahun inilah Ramadhan pertama kita lalui. Sedang Ramadhan-Ramadhan yang berlaku seakan tidak pernah wujud. Mengapa? Kerana kita hanya pandai menyumbatkan amal di dalamnya, namun tidak menjadikan ianya bermakna buat kita.


Marilah kita melihat perkara ini semula. Jangan kita bazirkan lagi Ramadhan kita.


Jadikan Ramadhan kita kali ini, dan Ramadhan-Ramadhan hadapan sebagai Ramadhan yang bermakna.


Agar graf Ummah kita meningkat dan meningkat. Melalui Ramadhan bukan sekadar ikut-ikutan dan adat semata-mata. Melalui Ramadhan dengan faham, dengan penuh bermakna.


#Langitilahi.com


Jul 2, 2012

Rendahkanlah, tolonglah!

Hei kamu yang pandang dengan pandangan yg cukup tajam dekat diri,
perlu ka pandang macam tu sampai tak henti?
perlu ke, walaupun sudah 'kantoi' dengan diri?

tak ingatkah dalam suratan ilahi,
kamulah kaum yg pertama perlu peka dan tunduk lagi,
kamulah pencetus segala sangka yg akan datang tanpa henti,
kamulah.. perlu berjaga-jaga sebelum terlambat lagi!

bukan nak perasan, tapi serabutlah.. tak suka lah, boleh katakan!
kalau nak tengok pun, 'cover' pun tak reti kah?
kalau nak pandang pun, berjaga-jagalah pada yg Maha memerhati..
kalau nak buat pun, berhati-hatilah, semua kan panahan syaitan yg ingin binasakan diri? 

kalau suka tahap manu pun, perlu berjaga kan?
kalau minat sangat, kenapa tak rahsiakan?
sebab memang kamu tak bersedia lagi kan?
jadi, jangan bermain tepi longkang tu, boleh kan?
takut jatuh, tak boleh bangkit pula.. macam mana nak selamatkan?

sekurang-kurangnya nanti tak ada yg suka perasan lagi,
"Eh, dia tengok aku pelik lah.. banyak kali pulak tu.. dia suka ke dekat aku?"
dan lebih kurang akan rasa macam ni lah,
"Eh, dia tak suka kot dekat aku.."
dan akan mengelakkan kaum hawa daripada membuahkan harapan,

sedang yg di sana masih suka lagi, kan?
kenapa tak biar jadikan kejutan?
kenapa tak simpan dan rahsiakan?
bukankah itu menunjukkan ketulusan?

mahu hanya Dia sahaja mengetahui, supaya suatu hari nanti..
akan dapat berkat & redha di sini,
supaya hidup bahagia bersama tak lama lagi.. mungkin?

jadi tolonglah rendahkan pandangan,
supaya mengelak daripada fitnah,
serta dapat cegah daripada syaitan,
yg akan buat manusia jadi punah.

jagalah pandangan, supaya kamu dihormati dan disanjungi oleh bidadari di langit,
yg sedang menunggumu di sana.. tanpa henti. 

jagalah pandangan, kerana kamu pasti, akan dapat habuanNya di sisi Tuhan.. yg dekat di sisi, bagi siapa yg bersabar dalam menanti..





*******



baru-baru ni agak tak tenang hati, 
boleh tak diri luahkan di sini? sebab, perkara ini suka orang remehkan, sedang sudah ditegur oleh Allah sendiri. .tapi masih mahu buat tanpa henti..


dan diri cukup pantang kpd yg suka mengusya tanpa henti, tanpa segan silu, yg ada Dia yg memerhati..
sebab cara itulah, boleh jadi refleksi iman di hati.
lemah, kuat atau masih goyah?



Jul 1, 2012

Ramadhan-Sinergikan Ramadhan dan Syaaban

Sebelum masuknya Ramadhan, datang terlebih dahulu Sya’ban. Ramai yang memfokuskan dirinya kepada amalan-amalan kala Ramadhan, seperti Solat Tarawih, membaca Al-Quran dengan banyak, berpuasa sepanjang siang selama 30 hari, bersedekah dengan banyak, menjauhi kejahatan dan kemungkaran. Namun ramai tidak mengetahui bagaimana hendak mensinergikan Sya’ban dan Ramadhan, dalam mencapai Ramadhan yang lebih berkualiti.
Jika seseorang yang mahu memasuki acara larian 10KM, bermula berlari hanyalah pada hari pertandingan tersebut, apakah yang akan terjadi kepadanya?
Penat. Pancit. Tewas. Tidak dapat menghabiskan larian.
Dia sepatutnya berlatih lebih awal, mempersiapkan diri, mempertingkatkan stamina. Itu sepatutnya. Begitulah Ramadhan.
Rasulullah SAW yang Telah Menunjukkan Contoh.
Aisyah RH berkata: “Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berbuka, dan baginda berbuka sehingga kami menyangkakan baginda tidak mahu berpuasa. Aku sama sekali tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa(pada bulan selain Ramadhan) melainkan Sya’ban.” Hadith Riwayat Bukhari.
Rasulullah SAW sendiri memperhebatkan amalan baginda kala Ramadhan. Bahkan di dalam hadith lain riwayat An-Nasa’i, baginda Rasulullah SAW bersabda menyatakan bahawa Sya’ban adalah bulan yang dilupakan, dan baginda suka berpuasa di dalam bulan tersebut kerana bulan tersebut adalah kala amalan diangkat menghadap Allah SWT. Maka baginda suka amalan baginda diangkat dalam keadaan baginda berpuasa.
Ini semua, jangan sekadar dipandang secara literal. Tetapi kita perlu memandang konteksnya. Mengapa dianjurkan memperhebatkan amalan di dalam Sya’ban? Kerana selepasnya adalah Ramadhan.
Besarnya fadhilat Ramadhan itu, agar ummat Islam mampu menggapainya, maka dianjurkan latihan semenjak Sya’ban. Agar stamina keimanan terbina, kekuatan jasad sudah dipertingkat, bagi mencapai Ramadhan yang penuh dengan pelbagai fadhilat. Tidakkah kita memerhatikan?

Sya’ban, Latihan Penuh Kesungguhan.
Maka di dalam Sya’ban kita latih diri kita. Berpuasa banyak, agar berpuasa kala Ramadhan tidak menjadi sukar buat kita. Mula menambah amalan, agar amalan yang berganda dalam Ramadhan tidak menjadi berat buat kita.
Di sini, kita nanti akan ‘terbiasa’, maka di dalam Ramadhan kita hendak mempertingkatkan kebaikan-kebaikan kita, bukan lagi menjadi satu kesukaran buat jiwa.
Sudah kita susun di dalam Sya’ban ini jadual amalan, dan sudah mula kita aturkan langkah meninggalkan keburukan-keburukan. Mulut yang celupar, sikap yang suka mengumpat dan mengeji, perbuatan yang tidak senonoh, semuanya kita usahakan untuk ditinggalkan.
Sya’ban sepatutnya diisi sedemikian.
Agar kita dapat menggapai Ramadhan dengan penuh keimanan.

Penutup: Maka Jangan Biarkan Sya’ban Berlalu Begitu Sahaja.
Kita nak berlari 10KM, dan ada masa sekitar sebulan lagi. Tetapi kita tidak menggunakan sebulan itu untuk berlatih dan memperkuatkan diri, agar kita boleh berlari dengan yakin, kuat, pantas pada acara itu nanti. Maka pada hari larian, awalnya kta berlari dengan pantas. Di pertengahannya pancit kepenatan.
Inilah dia keadaannya Ramadhan kita nanti, sekiranya kita tidak berusaha semenjak Sya’ban ini.
Separuh Ramadhan, kita sudah kebosanan dan keletihan. Kita mula mencari keseronokan lain seperti menghabiskan masa menonton drama, juga sibuk menghias rumah secara berlebihan hingga meninggalkan agenda utama Ramadhan – mempertingkatkan kualiti hati dan diri.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan berkira-kira(untuk memperhebatkan lagi amalannya), maka akan diampunkannya untuknya dosa-dosa yang telah berlalu.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Ganjaran sangat besar. Keampunan!
Jadi mengapa berlengah membazirkan Sya’ban?
Ayuh, isinya dengan usaha-usaha peningkatan agar kita mampu mencapai kualiti maksima Sang Ramadhan!
*langitilahi.com

Jun 4, 2012

Balasan Bagi Orang Yang Amanah dan Jujur


Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. menyebutkan seorang lelaki daripada Bani Israil telah meminta bantuan kawannya agar memberinya hutang sebanyak 1000 dinar. Lalu kawannya berkata, “Bawalah beberapa orang saksi agar mereka menyaksikan hutangmu ini.” Dia menjawab, “Cukuplah Allah sebagai saksi bagiku!” Orang itu berkata, “Datangkanlah seseorang yang menjamin pinjamanmu!” Peminjam itu hanya menjawab, “Memadailah Allah s.w.t. menjaminku.” Akhirnya kawan itu pun berkata, “Engkau benar!”

Maka wang itu diberikan kepadanya dengan janji dibayar balik dalam jangka waktu yang telah ditentukan. Tidak lama kemudian, orang yang berhutang itu pun berlayar untuk suatu keperluannya. Apabila sampai tempoh masa yang dijanjikan untuk membayar hutang, dia mencari kapal yang dapat menghantarnya ke tempat asalnya untuk menjelaskan hutangnya itu, tetapi gagal.

Maka dia pun mengambil sebatang kayu yang besar lantas menebuk lubang padanya. Dia memasukkan wang 1000 dinar ke dalam lubang tersebut beserta surat kepada kawan yang member pinjaman itu. Lalu ia meratakan kembali kayu tersebut dan memperbaiki keadaannya.

Selanjutnya ia pergi ke laut seraya berkata, “Ya Allah, sungguh Engkau telah mengetahui  bahawa aku meminjam wang kepada sahabatku sebanyak 1000 dinar. Dia meminta kepadaku seorang penjamin maka aku katakan waktu itu, “Cukuplah Allah sebagai penjamin.” Dan dia memintaku seorang saksi  maka aku juga berkata, “Cukuplah Allah sebagai saksi.” Kemudian dia pun berpuas hati dan yakin dengan janjiku itu. Aku telah berusaha keras mencari kapal untuk mengirimkan kepadanya wang yang telah aku pinjam, tetapi aku tidak mendapat kapal untuk menghantarku pulang… kerana itu aku kirimkan wang itu kepadamu.”  Lalu dia melemparnya dan pulang.

Sahabat  yang memberi hutang itu telah keluar menunggu kedatangan kapal yang disangkanya membawa peminjam itu. Dia pun keluar rumah untuk melihat-lihat barangkali ada kapal yang membawa wang untuknya. Tiba di tepi laut, dia menemui sebatang kayu. Ia lalu mengambilnya untuk keperluan isterinya. Namun, ketika ia membelah kayu tersebut ia mendapati wang yang dipinjamkan itu beserta sepucuk surat. Selang beberapa waktu datanglah orang yang berhutang dengan membawa wang 1000 dinar kepada sahabatnya. Beliau berkata, “Demi Allah, baru hari ini aku dapat menaiki kapal membawaku pulang setelah sekian lama ternanti-nanti rombongannya untuk kutumpangi.” Orang yang memberi hutangnya itu menjawab, “Bukankah engkau telah mengirimkan wang itu melalui sesuatu?” Dia menjawab, “Memang aku telah memberitahu kepadamu bahawa aku tidak dapat pulang sebelum ini.” Orang yang memberinya hutang itu berkata, “Sesungguhnya Allah telah menunaikan apa yang engkau kirimkan kepadaku melalui kayu. Bawalah wang 1000 dinarmu kembali, moga Allah melimpahimu dengan keberkatan.”


May 8, 2012

Kesejukkan Tahajjud Memadamkan Nyalaan Api Neraka.


Melakukan Qiamullail dan bermunajat kepada Tuhan yang Maha Mulia dalam kegelapan malam menyelamatkan seseorang daripada api neraka.

Ibnu Umar r.a. menceritakan: “Ada seorang lelaki pada hayat Rasulullah saw selalu memberitahu mimpinya kepada baginda, sehingga aku juga teringin untuk mendapat mimpi dan boleh menceritakan kepada Rasulullah saw. Pada ketika itu, aku seorang pemuda yang masih bujang. Suatu hari, aku tertidur di masjid dan bermimpi dua malaikat membawaku menuju ke neraka. Di situ, aku melihat sebuah lubang seperti lubang sebuah telaga dan di dalamnya kelihatan orang yang kukenali, lantas aku pun mengucapkan: “Aku berlindung kepada Allah daripada api neraka (tiga kali).” Maka kedua malaikat itu berkata kepadaku: “Janganlah engkau takut.” Kemudian aku menceritakan mimpi kepada Hafsah dan ketika aku menceritakan kepada Nabi saw, maka baginda bersabda: “Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah Ibn Umar, jika dia rajin melakukan Qiamullail.” Kata Salim: “Sejak saat itu, Abdullah Ibn Umar ra tidak tidur malam kecuali hanya sedikit.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Al-Qurtubi ra menjelaskan hadis di atas: “Nabi saw menilai mimpi Ibnu Umar ra sebagai mimpi yang baik, sebab dia dibawa melihat neraka, kemudian dia dijauhkan daripadanya dan memaklumkan: “Engkau tidak perlu takut kepada api neraka.” Ini menunjukkan Ibnu Umar ra sebenarnya seorang yang soleh, Cuma dia tidak suka melakukan Qiamullail. Maka Abdullah Ibnu Umar menilai, bahawa melakukan Qiamullail dapat menjauhkan seseorang daripada siksaan api neraka. Melalui peristiwa itu, Ibnu Umar tidak lagi meninggalkan Qiamullail. (Fath al-Bari)

As-Syanqithi ra menyimpulkan hadis di atas bahawa melakukan Qiamullail dapat menjauhkan seseorang daripada seksaan Allah SWT. Saudaraku, ikutilah jejak orang yang suka melakukan Qiamullail, semoga kelak dapat dikumpulkan bersama mereka. Lihatlah tanda-tanda keceriaan pada wajah mereka yang suka melakukan Qiamullail, hati mereka banyak merenung (tafakur) dan mengambil iktibar, mereka selalu merasa takut, kerana itu mereka selalu tunduk. Jika malam telah larut, mereka bangun malam dan memohon ampun pada penghujung malam. Mereka melakukan ibadah malam dengan membawa pahala yang besar. Tetapi, amat rugi bagi sesiapa yang terlelap dalam tidurnya semalam. Itulah perjalanan mereka, maka ikutilah jejak mereka dan janganlah anda terpisah dari arah tuju mereka.

May 1, 2012

DUSTA ORANG KAYA, ULAMA, SYAHID.





Hadis Muslim, daripada Abu Hurairah ra, katanya Nabi saw bersabda:

Sesungguhnya di antara manusia yang mula-mula dibicarakan dan dihukum pada hari kiamat ialah, pertama, orang yang gugur syahid. Dia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya satu persatu nikmat-Nya, lalu dia pun mengakui menerimanya. Allah SWT bertanya kepadanya, “Maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?”

Dia menjawab, “Aku berperang kerana mematuhi perintah-Mu, sehingga aku gugur syahid.”

Allah berfirman, “Engkau berdusta. Akan tetapi engkau berperang supaya orang mengatakan engkau berani, dan telahpun dikatakan demikian.” Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Kedua, orang yang belajar ilmu dan mengajarnya serta membaca Quran. Dia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmat-Nya satu persatu, lalu dia mengakui menerimanya. Allah SWT bertanya, “Maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?”

Dia menjawab, “ Aku belajar ilmu dan mengajarnya serta membaca Quran kerana mengharapkan keredhaan-Mu.”

Allah berfirman, “Engkau berdusta. Akan tetapi engkau mempelajari ilmu supaya orang mengatakan engkau alim, dan engkau membaca Quran supaya orang mengatakan engkau seorang qari, dan telahpun dikatakan demikian.” Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Ketiga, orang yang telah dimewahkan Allah hidupnya serta diberi-Nya sebahagian dari segala jenis harta benda kekayaan. Dia dibawa mengadap, maka Allah menyatakan kepadanya nikmat-nikmat-Nya satu persatu, lalu dia mengakui menerimanya. Allah SWT bertanya, “Maka apa engkau telah lakukan pada nikmat-nikmat itu?”

Dia menjawab, “Aku tidak tinggalkan satu pun jalan yang Engkau suka dibelanjakan kekayaan padanya melainkan aku belanjakan padanya, kerana mengharapkan rahmat-Mu.”

Allah Taala berfirman, “Engkau berdusta. Akan tetapi engkau belanjakan harta kekayaanmu supaya orang mengatakan engkau itu seorang dermawan, dan telahpun dikatakan demikian.” Kemudian dia dihukum lalu diseret dengan tertiarap dan akhirnya dihumbankan ke dalm neraka.

[Mustika Hadis Rasulullah, 2000, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur, ms 115-117]



Apr 24, 2012

Pencuri Mengajar Ayat Kursi





Hadith sahih Bukhari, daripada Abu Hurairah ra, katanya:

          Rasulullah saw menugaskan aku menjaga zakat Ramadhan (zakat fitrah). Kemudian datang seseorang lalu diambilnya segenggam makanan. Aku tangkap orang itu dan berkata kepadanya, “Nanti kuadukan engkau kepada Rasulullah saw.”


          Katanya, “Aku memerlukan, kerana aku mempunyai keluarga dan keperluan yang amat sangat.”


          Kata Abu Hurairah: Kerana itu aku lepaskan saja dia. Esok pagi Nabi saw bertanya, “Hai Abu Hurairah, apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?” Jawabku, “Ya Rasulullah, katanya dia sangat memerlukan, dan dia mempunyai keluarga. Aku berasa kasihan dan aku lepaskan dia.”


          Nabi bersabda, “Sebenarnya dia berdusta kepadamu, dan dia akan datang lagi.”


          Aku pun yakin dia akan datang lagi, kerana kata-kata Rasulullah saw itu, lalu aku intip dia. Memang benar, dia datang lagi, dan diambilnya segenggam makanan. Terus aku tangkap dia, sambil berkata, “Nanti kuadukan kepada Rasulullah saw.”


           Katanya, “Lepaskan aku. Aku sangat memerlukan, dan aku punyai keluarga. Aku tak akan buat lagi.”
      
           Aku berasa kasihan, lalu aku lepaskan dia. Esok pagi-pagi Rasulullah saw bertanya aku, “Hai Abu Hurairah, apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?” Saya jawab, “Ya Rasulullah, katanya dia sangat memerlukan, dan dia mempunyai keluarga. Aku berasa kasihan dan aku lepaskan dia.”
               
           Nabi bersabda, “Sebenarnya dia berdusta kepadamu, dan dia akan datang lagi.”


           Aku intip dia lagi untuk kali ketiga. Memang benar dia datang lagi dan diambilnya segenggam makanan. Lantas aku tangkap dia seraya berkata, “Aku akan adukan engkau kepada Rasulullah saw. Ini kali ketiga engkau kata tak akan datang lagi tetapi engkau datang juga.”


           Katanya, “Lepaskan aku, nanti aku ajarkan engkau kalimah-kalimah yang diberi manfaat oleh Allah, apabila engkau membaca kalimah itu.” Kataku, “Apakah kalimah itu?”


           Jawabnya, “Apabila engkau hendak tidur, bacalah Ayat Kursi, Allaahu laa ilaaha illa huwal haiyul qayyuum… (hingga akhir ayat 255 surah Al-Baqarah). Maka engkau akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke pagi.”


           Setelah itu aku pun lepaskan dia. Esok pagi Rasulullah bertanya, “Apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?” Saya jawab, “Ya Rasulullah, dia mengajarkan aku beberapa kalimah yang katanya diberi manfaat oleh Allah apabila seseorang membacanya. Kerana itu dia aku lepaskan.”


           Nabi bertanya, “Apakah kalimah itu?” Jawabku, “Dia mengatakan kepadaku, apabila engkau hendak tidur bacalah Ayat Kursi dari awal hingga akhir, yakni Allaahu laa ilaaha illa huwal haiyul qayyuum… , dan katanya, engkau akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke pagi.”


            Nabi saw bersabda, “Sesungguhnya dia telah benar kepadamu, padahal dia sangat pendusta. Tahukah engkau dengan siapa engkau bercakap selama tiga malam itu wahai Abu Hurairah?” Jawabku, “Tidak.”


                Sabda baginda, “Itulah syaitan.”


[Shahih Bukhari (Terj), 1997, Klang Book Centre, Klang, hadis no. 1122, ms 316-319(ii)]





Apr 17, 2012

Makanan kegemaran Rasulullah SAW



1.       Daging kambing bahagian lengan.
Sesungguhnya Rasulullah SAW suka memakan daging, terutama bahagian lengan dari daging seekor kambing. Abu Hurairah r.a. berkata:
Suatu ketika dihidangkan ke hadapan Rasulullah SAW semangkuk bubur dan daging. Maka beliau mengambil bahagian lengan (dari daging tersebut), dan bahagian itulah yang paling disenangi oleh Nabi Muhammad SAW.” (HR Muslim)

Daging merupakan makanan yang sangat penting bagi manusia sepanjang zaman, baik di dunia mahupun akhirat. Allah SWT menjelaskan dalam Al-Quran bahawa daging termasuk makanan penghuni syurga :
                “Dan Kami telah persiapkan bagi mereka dengan buah-buahan dan daging yang mereka sukai.” (Ath-Thur [52] 22)

Para ulama terdahulu memberikan pendapat tentang keutamaan mengambil daging. Di antaranya :
·         Qadhi Iyadh berkata, “Rasulullah SAW gemar mengambil daging bahagian lengan disebabkan oleh kematangannya, aroma yang wangi, rasa yang lazat, manis dan jauh dari tempat-tempat yang berbahaya.”
·         Muhammad bin Wasi’ berkata, “Daging dapat menambahkan kekuatan penglihatan.”
·         Imam Az Zuhri berkata, “Memakan daging akan menambah tujuh puluh kekuatan (tenaga).”
·         Ali bin Abi Thalib berkata, “Makanlah daging, sesungguhnya daging dapat membuat warna menjadi jernih, membuat perut menjadi lapar dan dapat memperbaiki akhlak.”

2.        Susu
Rasulullah SAW menyukai susu yang berasal dari binatang ternakan seperti susu lembu dan susu kambing. Allah SWT menjelaskan secara khusus tentang susu dalam surah An Nahl (16:66)
                “Dan sesungguhnya pada binatang ternakan itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami member minum daripada apa yang berada dalam perutnya (berupa) susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya.”

Istilah tahi dan darah pada ayat di atas bermaksud susu itu bersih sedangkan tahi dan darah adalah najis (kotor). Yusuf Ali menterjemahkan dengan kata “between excretions and blood” bukan dengan kata “made of” atau “product f” yang bermaksud berasal atau diperbuat daripada.

Berikut adalah beberapa khasiat yang terdapat dari susu menurut beberapa penyelidikan;
·         Mencegah kanser usus besar (colon)
·         Mencegah Osteoporosis (tulang rapuh)
·         Mengawal berat badan

3.        Kurma
Rasulullah SAW bersabda;
Di antara pohon itu ada pohon yang memiliki karateristik seperti seorang muslim, iaitu pohon kurma.” (HR Bukhari)

Rasulullah SAW mengibaratkan seorang muslim seperti pohon kurma dengan segala manfaat dan keberkatannya. Kurma diibaratkan seorang muslim denga banyak kebaikan yang diberikan, kerendangan pohonnya serta buahnya yang nikmat. Ia boleh dimakan ketika putik, masa buah penuh berisi, di masa muda, dan buah yang masak sama ada dalam keadaan kering , basah atau sudah menjadi kurma yang lengkap. Kurma dapat dimakan  siang mahupun malam hari, pada musim dingin mahupun musim panas.Kurma menjadi rahsia utama yang menyebabkan kaum muslimin sentiasa memiliki pasukan yang bertenaga untuk bertarung dengan musuh-musuhnya meski dalam keadaan kelaparan, sehingga dalam isi perut mereka tidak terdapat lagi kecuali beberapa butir kurma.

Kurma memiliki kandungan gizi yang cukup lengkap dan diperlukan manusia, antaranya;
·         Vitamin A
Kurma bermanfaat menjaga kelembapan mata dan kesihatan mata, menguatkan saraf-saraf penglihatan, menghilangkan rabun senja dan menjernihkan penglihatan. Para doctor menyatakan bahawa vitamin A berkhasiat menguatkan  saraf-saraf pendengaran. Oleh itu, kurma amat berguna untuk warga emas yang mula mengalami gangguan pendengaran akibat kelemahan saraf-saraf pendengaran.
·         Vitamin B1 dan B2
-berfungsi menguatkan saraf, melembutkan saluran darah dan menjaga kesegaran usus dari iritasi dan gangguan
-diberikan untuk orang yang baru sembuh dari sakit, atlet dan para akademik.
-mengubati penyakit hati, bibir pecah-pecah, alergi, kuku pecah, dan kulit kering.
·         Fosfor
-bermanfaat bagi susunan tulang dan gigi, otak dan alat pembiakan manusia.
·         Zat besi dan kalsium
·         Magnesium
-mengelakkan kanser

4.        Sup
Jabir bin Abdullah r.a. menceritakan pengalamannya ketika haji, “Rasulullah SAW meminta untuk diambilkan beberapa potong daging unta untuk kemudian dimasukkan dalam periuk dan dimasak. Lalu Jabir dan Rasulullah SAW memakan daging unta tersebut dan meminum kuahnya (sup.” (HR Muslim)
Anas bin Malik r.a. juga menyatakan “Rasulullah SAW menyukai sup.” (HR Ahmad)

5.        Madu dan makanan manis
Aisyah r.a. berkata, “Rasulullah SAW menyukai makanan manis dan madu.” (HR Bukhari)

Makanan manis yang dimaksud dalam hadis tersebut meliputi kuih-kuih yang sudah popular seperti kunafah, baqlawah, ma’mul dan kuih-kuih khas bangsa arab. Kuih manis yang paling disukai Rasulullah SAW adalah maji’, iaitu buah yang dicampur dengan susu.

Adnan Ath Tharsyah menyebutkan beberapa manfaat madu, antaranya;
·         Menenangkan perut
·         Melancarkan pembuangan air kecil
·         Menyembuhkan batuk berkahak
·         Membuat rambut lebat, halus dan cantik
·         Membuat pandangan mata lebih terang (digunakan sebagai celak)
·         Memutihkan dan menjaga gigi (dengan memberus gigi)


Apr 7, 2012

5S : Senyum,Salam,Sapa,Selawat,Sopan


*dilukis oleh Aliy Suffian 5 Ikhlas

Motivasi: Sebelum Aku Bernikah – Bermulanya Satu Kesedaran




Sepanjang saya mampu mengingat, saya punya memori tentang ‘pernikahan’ yang pertama adalah ketika saya berumur sekitar 5 tahun. Main ‘masak-masak’ dengan rakan perempuan di nurseri tempat saya dijaga. Saya jadi ayah, dan ada seorang pelajar perempuan itu menjadi ibu. Itu ingatan pertama saya berkenaan kahwin, nikah, rumah tangga. Cuma mungkin ketika itu, saya tidak pernah mengetahui istilah-istilah tersebut.
Namun bukanlah itu yang menjadi ‘trigger’ kepada kesedaran saya dalam isu ini.
Yang ‘menolak’ saya untuk memulakan satu kembara yang panjang, menyelam dalam isu cinta dan pembinaan rumah tangga ini adalah apabila satu hari, saya mendengar guru saya berbicara di koperasi sekolah berkenaan seorang pelajar perempuan.
“Untung siapa dapat dia ni. Rajin pergi usrah. Excellent dalam pengajian. Bahkan dia telah bercita-cita untuk menyumbang tenaganya untuk Islam.”
Masa itu saya terfikir, mengapa mesti keuntungan seseorang, diikat dengan ciri-ciri seperti tadi? Selain itu, tidak untungkah?
Di situ kembara saya bermula.
Sembang dengan orang yang lebih tua.
Hari ini, dunia menjumpai satu teknologi bernama laman sosial. Laman sosial zaman saya punya kesedaran itu, hanyalah friendster. Tidak semeriah dan sehebat Facebook hari ini. Zaman itu, ledakan blog pun belum terjadi. Ketika itu saya baru mencecah tingkatan 4. Tahun 2005.
Hari ini, bila orang nak mencari ‘kefahaman’ berkenaan urusan sebegini, Facebook adalah ulama’nya. Blog para ‘doktor cinta’ menjadi terjahanannya.
Namun saya pada ketika itu, tidak bergerak ke alam-alam maya ini. Memandangkan saya sendiri ketika itu adalah pelajar asrama. Akses kepada internet tidak semudah hari ini.
Apa yang saya lakukan apabila ‘wujud persoalan akan rumah tangga?’
Saya pergi kepada mereka yang lebih tua.
Saya masih ingat bagaimana saya suka mendengar bicara guru-guru saya seperti Sir Rosdi Baharom, Cikgu Azmi Bahari, berkenaan baitul muslim, berkenaan pernikahan dan percintaan. Terutama kepada Sir Rosdi yang merangkap mentor kepada usrah saya di MATRI ketika itu, saya sering bertanya kepadanya akan ciri-ciri rumah tangga yang baik, ciri-ciri isteri yang patut dicari dan sebagainya.
Dan Sir Rosdi akan berkongsikan pengalamannya. Begitulah juga Cikgu Azmi. Mereka berkongsi pengalaman rumah tangga mereka. Dari situ saya belajar dan memahami.

Faham Sebelum Cinta.
Berlainan dengan ramai remaja hari ini yang bercinta dahulu sebelum memahami, saya Allah aturkan untuk mendapat kefahaman dahulu sebelum mencintai. Saya kira, semua orang sepatutnya begitu. Menjemput kefahaman terlebih dahulu, berbanding menerjah ke alam itu secara melulu.
Sepanjang umur saya 16 dan 17 tahun, saya sering mengkaji persoalan berkenaan:
“Cinta itu apa?”
“Bagaimana patut bercinta?”
“Mengapa perlu mencari pasangan yang ciri-cirinya sedemikian?”
“Mengapa penting membentuk diri sebelum pernikahan?”
“Anak-anak nanti, perlu diacu bagaimana? Dan apa kaitannya dengan keadaan diri kita?”
“Apakah hubungan rumahtangga yang kita bina, dengan Islam dan ummat?”
Itu antara persoalan-persoalan yang saya cuba selesaikan pada umur saya belasan tahun sebelum mencecah 20-an. Tidak cukup dengan beberapa orang veteran, saya mula mencari lebih ramai veteran lain. Hatta mudir sekolah saya ketika itu, Ustaz Dahlan bin Mohd Zain, tidak saya segan silu merapatinya dan bertanya pendapatnya akan hal-hal ini.
Saya mula memberanikan diri bertanya dan bersembang dengan Abah dan Ummi saya sendiri. Kadangkala sengaja saya menembak soalan seperti: “Abah, macam mana boleh terkahwin dengan Ummi?”
Semua itu adalah untuk saya memahami, bagaimana dan mengapa, dalam isu percintaan dan rumah tangga.
Memahami cinta, dalam rupanya yang sebenar. Realistik.
Bukan dalam bentuknya yang diindah-indahkan seperti di dalam novel, atau kata-kata ‘sempurna’ yang biasa didengari. Kerana saya pada umur itu menyedari bahawa, saya hidup di atas dunia, bukan di dalam syurga.

Akhirnya Menyedari Betapa Besarnya Perkara Ini.
Akhirnya, dalam kembara mencari kesedaran ini, saya mula melihat betapa besarnya perkara ini. Pada umur saya sekitar 19 tahun, saya memahami bahawa perkara ini, yakni cinta, pernikahan dan rumahtangga ini, tidak boleh dilaksanakan dengan sambil lewa. Tidak boleh dilalui dengan sambil lewa.
Hal ini kerana, ketika itu saya mula melihat bahawa hubungan dua manusia, lelaki dan perempuan yang ingin bersatu menjadi keluarga, adalah asas kepada pembinaan ummah itu sendiri.
Saya pada umur itu memandang, sekiranya saya merosakkan perjalanan cinta saya, mengisinya dengan perkara yang Allah larang, membinanya dengan sambil lewa tanpa kesungguhan, maka saya sebenarnya telah menyumbang kepada kerapuhan ummah!
Ya. Saya pada umur itu melihat sedemikian rupa.
Maka dengan kesedaran sedemikian, saya mula merancang masa hadapan saya.
Perjalanan cinta saya.
Rumahtangga saya.

Penutup: Kesedaran Itu Penting.
Sedar bermaksud, sebelum ini kita lena. Lalai. Alpa.
Maka kita ‘tersedar’. Terjaga. Mula ‘aware’. Mula sensitif dan peka.
Kerana itu, kesedaran adalah amat penting.
Namun apakah kita hari ini menyedari?
Ramai yang sekadar seronok dan teruja dalam menerjah cinta, pernikahan dan rumah tangga. Sibuknya hanyalah dalam isu hubungan lelaki dan perempuan, bagaimana cinta sebelum kahwin halal atau tidak, istikharah macam mana, bagaimana perhubungan antara tunang dengan tunang, dan sebagainya.
Tetapi tiada yang menyedari bahawa perkara ini hakikatnya lebih besar daripada semua itu.
Pembinaan ummah!
Apakah yang lebih besar daripadanya?
Bagi yang tidak menyedari, dia akan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang kecil. Bagi yang menyedari, dia akan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang besar.
Saya adalah yang menyedari.
*langitilahi.com