Apr 24, 2012

Pencuri Mengajar Ayat Kursi





Hadith sahih Bukhari, daripada Abu Hurairah ra, katanya:

          Rasulullah saw menugaskan aku menjaga zakat Ramadhan (zakat fitrah). Kemudian datang seseorang lalu diambilnya segenggam makanan. Aku tangkap orang itu dan berkata kepadanya, “Nanti kuadukan engkau kepada Rasulullah saw.”


          Katanya, “Aku memerlukan, kerana aku mempunyai keluarga dan keperluan yang amat sangat.”


          Kata Abu Hurairah: Kerana itu aku lepaskan saja dia. Esok pagi Nabi saw bertanya, “Hai Abu Hurairah, apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?” Jawabku, “Ya Rasulullah, katanya dia sangat memerlukan, dan dia mempunyai keluarga. Aku berasa kasihan dan aku lepaskan dia.”


          Nabi bersabda, “Sebenarnya dia berdusta kepadamu, dan dia akan datang lagi.”


          Aku pun yakin dia akan datang lagi, kerana kata-kata Rasulullah saw itu, lalu aku intip dia. Memang benar, dia datang lagi, dan diambilnya segenggam makanan. Terus aku tangkap dia, sambil berkata, “Nanti kuadukan kepada Rasulullah saw.”


           Katanya, “Lepaskan aku. Aku sangat memerlukan, dan aku punyai keluarga. Aku tak akan buat lagi.”
      
           Aku berasa kasihan, lalu aku lepaskan dia. Esok pagi-pagi Rasulullah saw bertanya aku, “Hai Abu Hurairah, apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?” Saya jawab, “Ya Rasulullah, katanya dia sangat memerlukan, dan dia mempunyai keluarga. Aku berasa kasihan dan aku lepaskan dia.”
               
           Nabi bersabda, “Sebenarnya dia berdusta kepadamu, dan dia akan datang lagi.”


           Aku intip dia lagi untuk kali ketiga. Memang benar dia datang lagi dan diambilnya segenggam makanan. Lantas aku tangkap dia seraya berkata, “Aku akan adukan engkau kepada Rasulullah saw. Ini kali ketiga engkau kata tak akan datang lagi tetapi engkau datang juga.”


           Katanya, “Lepaskan aku, nanti aku ajarkan engkau kalimah-kalimah yang diberi manfaat oleh Allah, apabila engkau membaca kalimah itu.” Kataku, “Apakah kalimah itu?”


           Jawabnya, “Apabila engkau hendak tidur, bacalah Ayat Kursi, Allaahu laa ilaaha illa huwal haiyul qayyuum… (hingga akhir ayat 255 surah Al-Baqarah). Maka engkau akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke pagi.”


           Setelah itu aku pun lepaskan dia. Esok pagi Rasulullah bertanya, “Apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?” Saya jawab, “Ya Rasulullah, dia mengajarkan aku beberapa kalimah yang katanya diberi manfaat oleh Allah apabila seseorang membacanya. Kerana itu dia aku lepaskan.”


           Nabi bertanya, “Apakah kalimah itu?” Jawabku, “Dia mengatakan kepadaku, apabila engkau hendak tidur bacalah Ayat Kursi dari awal hingga akhir, yakni Allaahu laa ilaaha illa huwal haiyul qayyuum… , dan katanya, engkau akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke pagi.”


            Nabi saw bersabda, “Sesungguhnya dia telah benar kepadamu, padahal dia sangat pendusta. Tahukah engkau dengan siapa engkau bercakap selama tiga malam itu wahai Abu Hurairah?” Jawabku, “Tidak.”


                Sabda baginda, “Itulah syaitan.”


[Shahih Bukhari (Terj), 1997, Klang Book Centre, Klang, hadis no. 1122, ms 316-319(ii)]





Apr 17, 2012

Makanan kegemaran Rasulullah SAW



1.       Daging kambing bahagian lengan.
Sesungguhnya Rasulullah SAW suka memakan daging, terutama bahagian lengan dari daging seekor kambing. Abu Hurairah r.a. berkata:
Suatu ketika dihidangkan ke hadapan Rasulullah SAW semangkuk bubur dan daging. Maka beliau mengambil bahagian lengan (dari daging tersebut), dan bahagian itulah yang paling disenangi oleh Nabi Muhammad SAW.” (HR Muslim)

Daging merupakan makanan yang sangat penting bagi manusia sepanjang zaman, baik di dunia mahupun akhirat. Allah SWT menjelaskan dalam Al-Quran bahawa daging termasuk makanan penghuni syurga :
                “Dan Kami telah persiapkan bagi mereka dengan buah-buahan dan daging yang mereka sukai.” (Ath-Thur [52] 22)

Para ulama terdahulu memberikan pendapat tentang keutamaan mengambil daging. Di antaranya :
·         Qadhi Iyadh berkata, “Rasulullah SAW gemar mengambil daging bahagian lengan disebabkan oleh kematangannya, aroma yang wangi, rasa yang lazat, manis dan jauh dari tempat-tempat yang berbahaya.”
·         Muhammad bin Wasi’ berkata, “Daging dapat menambahkan kekuatan penglihatan.”
·         Imam Az Zuhri berkata, “Memakan daging akan menambah tujuh puluh kekuatan (tenaga).”
·         Ali bin Abi Thalib berkata, “Makanlah daging, sesungguhnya daging dapat membuat warna menjadi jernih, membuat perut menjadi lapar dan dapat memperbaiki akhlak.”

2.        Susu
Rasulullah SAW menyukai susu yang berasal dari binatang ternakan seperti susu lembu dan susu kambing. Allah SWT menjelaskan secara khusus tentang susu dalam surah An Nahl (16:66)
                “Dan sesungguhnya pada binatang ternakan itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami member minum daripada apa yang berada dalam perutnya (berupa) susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya.”

Istilah tahi dan darah pada ayat di atas bermaksud susu itu bersih sedangkan tahi dan darah adalah najis (kotor). Yusuf Ali menterjemahkan dengan kata “between excretions and blood” bukan dengan kata “made of” atau “product f” yang bermaksud berasal atau diperbuat daripada.

Berikut adalah beberapa khasiat yang terdapat dari susu menurut beberapa penyelidikan;
·         Mencegah kanser usus besar (colon)
·         Mencegah Osteoporosis (tulang rapuh)
·         Mengawal berat badan

3.        Kurma
Rasulullah SAW bersabda;
Di antara pohon itu ada pohon yang memiliki karateristik seperti seorang muslim, iaitu pohon kurma.” (HR Bukhari)

Rasulullah SAW mengibaratkan seorang muslim seperti pohon kurma dengan segala manfaat dan keberkatannya. Kurma diibaratkan seorang muslim denga banyak kebaikan yang diberikan, kerendangan pohonnya serta buahnya yang nikmat. Ia boleh dimakan ketika putik, masa buah penuh berisi, di masa muda, dan buah yang masak sama ada dalam keadaan kering , basah atau sudah menjadi kurma yang lengkap. Kurma dapat dimakan  siang mahupun malam hari, pada musim dingin mahupun musim panas.Kurma menjadi rahsia utama yang menyebabkan kaum muslimin sentiasa memiliki pasukan yang bertenaga untuk bertarung dengan musuh-musuhnya meski dalam keadaan kelaparan, sehingga dalam isi perut mereka tidak terdapat lagi kecuali beberapa butir kurma.

Kurma memiliki kandungan gizi yang cukup lengkap dan diperlukan manusia, antaranya;
·         Vitamin A
Kurma bermanfaat menjaga kelembapan mata dan kesihatan mata, menguatkan saraf-saraf penglihatan, menghilangkan rabun senja dan menjernihkan penglihatan. Para doctor menyatakan bahawa vitamin A berkhasiat menguatkan  saraf-saraf pendengaran. Oleh itu, kurma amat berguna untuk warga emas yang mula mengalami gangguan pendengaran akibat kelemahan saraf-saraf pendengaran.
·         Vitamin B1 dan B2
-berfungsi menguatkan saraf, melembutkan saluran darah dan menjaga kesegaran usus dari iritasi dan gangguan
-diberikan untuk orang yang baru sembuh dari sakit, atlet dan para akademik.
-mengubati penyakit hati, bibir pecah-pecah, alergi, kuku pecah, dan kulit kering.
·         Fosfor
-bermanfaat bagi susunan tulang dan gigi, otak dan alat pembiakan manusia.
·         Zat besi dan kalsium
·         Magnesium
-mengelakkan kanser

4.        Sup
Jabir bin Abdullah r.a. menceritakan pengalamannya ketika haji, “Rasulullah SAW meminta untuk diambilkan beberapa potong daging unta untuk kemudian dimasukkan dalam periuk dan dimasak. Lalu Jabir dan Rasulullah SAW memakan daging unta tersebut dan meminum kuahnya (sup.” (HR Muslim)
Anas bin Malik r.a. juga menyatakan “Rasulullah SAW menyukai sup.” (HR Ahmad)

5.        Madu dan makanan manis
Aisyah r.a. berkata, “Rasulullah SAW menyukai makanan manis dan madu.” (HR Bukhari)

Makanan manis yang dimaksud dalam hadis tersebut meliputi kuih-kuih yang sudah popular seperti kunafah, baqlawah, ma’mul dan kuih-kuih khas bangsa arab. Kuih manis yang paling disukai Rasulullah SAW adalah maji’, iaitu buah yang dicampur dengan susu.

Adnan Ath Tharsyah menyebutkan beberapa manfaat madu, antaranya;
·         Menenangkan perut
·         Melancarkan pembuangan air kecil
·         Menyembuhkan batuk berkahak
·         Membuat rambut lebat, halus dan cantik
·         Membuat pandangan mata lebih terang (digunakan sebagai celak)
·         Memutihkan dan menjaga gigi (dengan memberus gigi)


Apr 7, 2012

5S : Senyum,Salam,Sapa,Selawat,Sopan


*dilukis oleh Aliy Suffian 5 Ikhlas

Motivasi: Sebelum Aku Bernikah – Bermulanya Satu Kesedaran




Sepanjang saya mampu mengingat, saya punya memori tentang ‘pernikahan’ yang pertama adalah ketika saya berumur sekitar 5 tahun. Main ‘masak-masak’ dengan rakan perempuan di nurseri tempat saya dijaga. Saya jadi ayah, dan ada seorang pelajar perempuan itu menjadi ibu. Itu ingatan pertama saya berkenaan kahwin, nikah, rumah tangga. Cuma mungkin ketika itu, saya tidak pernah mengetahui istilah-istilah tersebut.
Namun bukanlah itu yang menjadi ‘trigger’ kepada kesedaran saya dalam isu ini.
Yang ‘menolak’ saya untuk memulakan satu kembara yang panjang, menyelam dalam isu cinta dan pembinaan rumah tangga ini adalah apabila satu hari, saya mendengar guru saya berbicara di koperasi sekolah berkenaan seorang pelajar perempuan.
“Untung siapa dapat dia ni. Rajin pergi usrah. Excellent dalam pengajian. Bahkan dia telah bercita-cita untuk menyumbang tenaganya untuk Islam.”
Masa itu saya terfikir, mengapa mesti keuntungan seseorang, diikat dengan ciri-ciri seperti tadi? Selain itu, tidak untungkah?
Di situ kembara saya bermula.
Sembang dengan orang yang lebih tua.
Hari ini, dunia menjumpai satu teknologi bernama laman sosial. Laman sosial zaman saya punya kesedaran itu, hanyalah friendster. Tidak semeriah dan sehebat Facebook hari ini. Zaman itu, ledakan blog pun belum terjadi. Ketika itu saya baru mencecah tingkatan 4. Tahun 2005.
Hari ini, bila orang nak mencari ‘kefahaman’ berkenaan urusan sebegini, Facebook adalah ulama’nya. Blog para ‘doktor cinta’ menjadi terjahanannya.
Namun saya pada ketika itu, tidak bergerak ke alam-alam maya ini. Memandangkan saya sendiri ketika itu adalah pelajar asrama. Akses kepada internet tidak semudah hari ini.
Apa yang saya lakukan apabila ‘wujud persoalan akan rumah tangga?’
Saya pergi kepada mereka yang lebih tua.
Saya masih ingat bagaimana saya suka mendengar bicara guru-guru saya seperti Sir Rosdi Baharom, Cikgu Azmi Bahari, berkenaan baitul muslim, berkenaan pernikahan dan percintaan. Terutama kepada Sir Rosdi yang merangkap mentor kepada usrah saya di MATRI ketika itu, saya sering bertanya kepadanya akan ciri-ciri rumah tangga yang baik, ciri-ciri isteri yang patut dicari dan sebagainya.
Dan Sir Rosdi akan berkongsikan pengalamannya. Begitulah juga Cikgu Azmi. Mereka berkongsi pengalaman rumah tangga mereka. Dari situ saya belajar dan memahami.

Faham Sebelum Cinta.
Berlainan dengan ramai remaja hari ini yang bercinta dahulu sebelum memahami, saya Allah aturkan untuk mendapat kefahaman dahulu sebelum mencintai. Saya kira, semua orang sepatutnya begitu. Menjemput kefahaman terlebih dahulu, berbanding menerjah ke alam itu secara melulu.
Sepanjang umur saya 16 dan 17 tahun, saya sering mengkaji persoalan berkenaan:
“Cinta itu apa?”
“Bagaimana patut bercinta?”
“Mengapa perlu mencari pasangan yang ciri-cirinya sedemikian?”
“Mengapa penting membentuk diri sebelum pernikahan?”
“Anak-anak nanti, perlu diacu bagaimana? Dan apa kaitannya dengan keadaan diri kita?”
“Apakah hubungan rumahtangga yang kita bina, dengan Islam dan ummat?”
Itu antara persoalan-persoalan yang saya cuba selesaikan pada umur saya belasan tahun sebelum mencecah 20-an. Tidak cukup dengan beberapa orang veteran, saya mula mencari lebih ramai veteran lain. Hatta mudir sekolah saya ketika itu, Ustaz Dahlan bin Mohd Zain, tidak saya segan silu merapatinya dan bertanya pendapatnya akan hal-hal ini.
Saya mula memberanikan diri bertanya dan bersembang dengan Abah dan Ummi saya sendiri. Kadangkala sengaja saya menembak soalan seperti: “Abah, macam mana boleh terkahwin dengan Ummi?”
Semua itu adalah untuk saya memahami, bagaimana dan mengapa, dalam isu percintaan dan rumah tangga.
Memahami cinta, dalam rupanya yang sebenar. Realistik.
Bukan dalam bentuknya yang diindah-indahkan seperti di dalam novel, atau kata-kata ‘sempurna’ yang biasa didengari. Kerana saya pada umur itu menyedari bahawa, saya hidup di atas dunia, bukan di dalam syurga.

Akhirnya Menyedari Betapa Besarnya Perkara Ini.
Akhirnya, dalam kembara mencari kesedaran ini, saya mula melihat betapa besarnya perkara ini. Pada umur saya sekitar 19 tahun, saya memahami bahawa perkara ini, yakni cinta, pernikahan dan rumahtangga ini, tidak boleh dilaksanakan dengan sambil lewa. Tidak boleh dilalui dengan sambil lewa.
Hal ini kerana, ketika itu saya mula melihat bahawa hubungan dua manusia, lelaki dan perempuan yang ingin bersatu menjadi keluarga, adalah asas kepada pembinaan ummah itu sendiri.
Saya pada umur itu memandang, sekiranya saya merosakkan perjalanan cinta saya, mengisinya dengan perkara yang Allah larang, membinanya dengan sambil lewa tanpa kesungguhan, maka saya sebenarnya telah menyumbang kepada kerapuhan ummah!
Ya. Saya pada umur itu melihat sedemikian rupa.
Maka dengan kesedaran sedemikian, saya mula merancang masa hadapan saya.
Perjalanan cinta saya.
Rumahtangga saya.

Penutup: Kesedaran Itu Penting.
Sedar bermaksud, sebelum ini kita lena. Lalai. Alpa.
Maka kita ‘tersedar’. Terjaga. Mula ‘aware’. Mula sensitif dan peka.
Kerana itu, kesedaran adalah amat penting.
Namun apakah kita hari ini menyedari?
Ramai yang sekadar seronok dan teruja dalam menerjah cinta, pernikahan dan rumah tangga. Sibuknya hanyalah dalam isu hubungan lelaki dan perempuan, bagaimana cinta sebelum kahwin halal atau tidak, istikharah macam mana, bagaimana perhubungan antara tunang dengan tunang, dan sebagainya.
Tetapi tiada yang menyedari bahawa perkara ini hakikatnya lebih besar daripada semua itu.
Pembinaan ummah!
Apakah yang lebih besar daripadanya?
Bagi yang tidak menyedari, dia akan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang kecil. Bagi yang menyedari, dia akan menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang besar.
Saya adalah yang menyedari.
*langitilahi.com