Nov 30, 2009

Wajibkah Jumaat Pada Hari Raya?

Soalan: “Apakah benar jika hari raya berlaku pada Hari Jumaat maka sesiapa yang menunaikan Solat Hariraya tidak wajib lagi untuk dia menunaikan Solat Jumaat?

Para fuqaha (sarjana Fekah) berbeza pendapat dalam hal ini. Di kalangan ulama, terutama dalam Mazhab Hanbali menyatakan tidak wajib Jumaat untuk makmum yang sudah menghadiri solat Hariraya, kecuali imam. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w ketika hariraya berlaku pada Hari Jumaat :

قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ

“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hariraya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih).

Berdasarkan hadis di atas, maka seseorang diberi pilihan sama ada hendak menunaikan solat Jumaat setelah menunaikan Solat Hariraya, atau berpada dengan solat berkenaan. Maka dengan itu dia wajib menunaikan Solat Zohor. Terdapat pendapat di kalangan ulama bahawa Zohor juga tidak wajib disebabkan Nabi s.a.w tidak pun menyebut hal ini dan Hari Jumaat yang diwajibkan adalah Solat Jumaat, maka apabila ia digugurkan tidak perlu mengganti apa-apa. Antara yang berpendapat tidak wajib diganti dengan Zohor ialah al-Imam Syed Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah (1/267, Beirut: Dar al-Fikr).

Apapun, hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, termasuk amalan pada zaman Umar, Abdullah ibn al-Zubair dan Ibn ‘Abbas menyebut perbuatan meninggalkan Jumaat pada hariraya itu أصابت السنة “Betul dari segi sunnah” (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra 2/366, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Cumanya, mereka kebanyakannya berpendapat wajib Zohor. Adapun imam hendaklah menunaikan Jumaat untuk mereka yang hendak menunaikan Jumaat, atau tidak menunaikan Solat Hariraya, maka wajib dia menunaikan Jumaat.

Dengan diakui ada perbezaan pendapat di kalangan sarjana hukum, namun saya cenderung kepada tidak wajib Jumaat bagi makmum yang sudah menunaikan solat Hariraya berdasarkan hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, juga sifat Islam itu sendiri yang meringankan apabila ada ruang kelonggaran. Apatahlagi, maksud perhimpunan kaum muslimin telah tertunai pada hari tersebut, maka perhimpunan solat hariraya sudah dapat memenuhi maksud perhimpunan solat Jumaat.

Nov 29, 2009

Perubahan..??

Satu ketika saya berada di dapur sedang membasuh pinggan yang penuh di sinki. Nak membasuh pinggan ada sesuatu yang menyebabkan saya agak gusar,
“Apalah.. nama tempat sabun, tapi kotor betul!”, ngomel saya sendirian.

Nenek saya yang tengah makan terdengar,
“Apa yang kakak bising-bisingkan tu?”

“Ni ha..tempat letak sabun ni, kotor ya amat!”, jawab saya, geram sambil membersihkan bekas sabun.

“Biasalah tu..”

“Macamlah manusia juga, kita beriya-iya nak ‘basuh’ orang tapi kita sendiri ‘kotor’ betul tak?”

Saya terdiam sejenak memikirkan mutiara kata orang lama ini. Ada betulnya.

“Jadi, kita boleh tegur orang, tapi, dengan syarat,dalam masa yang sama kita pun kene juga betulkan diri.." sambungnya lagi.

Hal ini menyebabkan saya terfikir, kadang-kadang memang benar sifat manusia itu tidak suka benda-benda yang buruk. Selalu benar orang menegur perkara-perkara yang buruk walhal kadang-kadang diri sendiri masih tidak diperbaiki.

Bukanlah di sini ertinya seseorang itu perlu tunggu hingga ia benar- benar suci baru boleh menegur, tetapi situasi yang berlaku hari ini ialah ramai yang selalu banyak cakap salah silap orang lain, namun untuk dirinya tidak banyak yang mahu diperbaiki.

Tidak ada masalah andai kita ingin menegur dan membetulkan masalah orang lain, tetapi anggaplah menegur orang lain juga menegur diri sendiri, agar sentiasa menjadi lebih baik.

Barulah cantik andai seseorang itu membetulkan rakannya yang tersilap, dalam masa yang sama dia turut berusaha menjadi orang yang berakhlak.
Tak gitu?


“Tiga perbuatan yang termasuk sangat baik, yaitu berzikir kepada Allah dalam segala situasi dan kondisi, saling menyadarkan (menasihati) satu sama lain, dan menyantuni saudara-saudaranya (yang memerlukan)” (Hadis Riwayat Ad-Dailami)
* edited from AsSakinah

Nov 27, 2009

Hadis2 Hukum Memakai Wangian

Hadith Pertama :

“Barangsiapa yang diberi harum-haruman, maka janganlah dia menolaknya, sesungguhnya ia itu ringan bebannya (ringan dibawa) dan harum baunya.” (Shahih riwayat Ahmad, Nasa’i, Muslim dan Abu Dawud dari jalan Abu Hurairah)

Hadith Kedua :

“Diberi kecintaan kepadaku daripada (urusan) dunia kamu, ialah : wanita, harum-haruman/ wangi-wangian dan dijadikan kesejukan dimataku di dalam sholat.” (Shahih riwayat ahmad, Nasa’i, Hakim dan Baihaqi dari jalan Anas bin Malik)

Hadith Ketiga :

“Sebaik-baik harum-haruman (buat kamu) ialah : misk/kasturi. ” (Shahih riwayat Ahmad, Muslim, Abu Dawud, Nasa’i dari jalan Abi Sa’id al Khudriy)

Hadith Keempat :

“Apabila salah seorang dari kamu (kaum wanita) menghadiri (sholat) isya’ (dimasjid) maka janganlah dia memakai wangi-wangian. “ (Shahih riwayat Muslim, Ahmad, Nasa’I dari jalan Zainab)

Hadith Kelima :

“Siapa sahaja perempuan yang memakai harum-haruman, maka janganlah dia menghadiri (sholat) isya’ di (masjid) bersama kami.” (Shahih riwayat Ahmad, Muslim, Abu Dawud dan Nasa’I dari jalan Abi Hurairah)

Hadith Keenam :

“Apabila seseorang perempuan keluar ke masjid, maka hendaklah dia mandi (membersihkan diri) daripada wangi-wangian sebagaimana dia mandi daripada janabat.” (Shahih riwayat Nasa’i dari jalan Abi Hurairah)

Hadith Ketujuh :

“Siapa sahaja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima sholatnya sehingga dia mandi terlebih dahulu (membersihkan dirinya daripada wangi-wangian tersebut).” (Shahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)

Hadith Kelapan :

“Siapa sahaja perempuan yang memakai minyak wangi, kemudian dia keluar, lalu dia melewati satu kaum (orang ramai) supaya mereka mendapati (mencium) baunya, maka dia itu adalah perempuan zina.” (Hasan riwayat Ahmad, Nasa’i, Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Hibban, Hakim, Ibnu Khuzaimah dan Thahawi dari jalan Abu Musa).