Jun 16, 2013
CERAMAH SEMPENA ISRA' DAN MIKAJ.
Mar 30, 2013
Ikhtilat Dalam Islam
..: بسم الله الرحمن الرحيم :..
![]() |
| ✿✿ Sifarkan Ikhtilat Bebas ✿✿ |
Diri ini mulakan entri ini dengan selawat ke atas nabi junjungan kita, Muhammad SAW. Alhamdulillah dah banyak perkongsian yang diri ini kongsikan dengan pembaca semua. InsyaAllah, pada kali ini, entri mengenai ikhtilat dalam Islam akan dikupas serta dibincangkan.
Apakah yang dimaksudkan dengan ikhtilat ? Ikhtilat dari segi bahasa bererti meramukan, menggaul sesuatu dengan sesuatu yang lain yakni mencampurkannya. Dari segi istilah syarak pula ikhtilat bermaksud percampuran wanita dengan lelaki iaitu perkumpulan mereka pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau berdua-duaan.
Persoalannya, mengapakah ikhtilat antara lelaki dan perempuan begitu dititikberatkan dalam Islam ? Macam inilah. Kalau pergaulan sesama lelaki dan sesama perempuan tidak perlulah dirisaukan kerana perkara tersebut dijamin tidak akan berlaku perkara maksiat padanya serta telah pun dibenarkan dan dihalalkan oleh syarak. Oleh hal yang demikian, persoalan ikhtilat antara lelaki dan perempuan akan dibincang serta dikupaskan.
Ikhtilat dalam Islam begitu penting bagi menjaga batas-batas antara lelaki dan perempuan. Semua umat Islam wajib menjaganya. Ikhtilat tidak tertumpu kepada mereka yang remaja sahaja malah kepada semua golongan yang telah pun baligh sama ada yang dewasa atau pun yang sudah berusia. Jelas setakat ini ?
![]() |
| ✿✿ Jagalah Ikhtilatmu ✿✿ |
Maksud daripada sabda Rasulullah :
"Tidak boleh seseorang wanita itu bermusafir melainkan dia ditemani oleh mahramnya. Dan tidak boleh seseorang lelaki berdua-duaan bersama perempuan kecuali perempuan tadi ditemani oleh mahramnya."
Lihat, betapa urusan ikhtilat ini dititikberatkan oleh Allah dan Rasulullah. Siapalah kita untuk meremehkan perkara ini sebenarnya ? Tepuk dada, tanya iman dan diri.
![]() |
| ✿✿ Hindarilah Ikhtilat Bebas ✿✿ |
Bila sebut hal ikhtilat ni, mungkin ramai daripada kalangan masyarakat kita yang memandang remeh serta memandangnya sebelah mata sahaja. Zaman moden sekarang ini, masyarakat sudah tidak lagi memandang soal-soal sebegini. Maklumlah, diliberalkan Islam pada masa sekarang. Jika ada suara yang menyekat apa jua bentuk ikhtilat yang dilarang Islam, dikatakan jumud dan konservatif. Alahai, betapa jumudnya pemikiran masyarakat sekarang.
Apakah hukum ikhtilat sebenarnya ? Pasti semua pembaca tertunggu-tunggu mengenai hal ini. Hukum asal ikhtilat yakni pergaulan antara leiaki dan perempuan ialah haram. Oleh hal yang demikian, ia adalah suatu perkara yang wajib dihindarkan kecuali dalam keadaan terpaksa atau keperluan yang mendesak. Syeikh Abd. Karim Zaidan dalam kitabnya
al-Mufassat fil Mar'ah yang masyhur menyebutkan contoh-contoh keadaan serta hukum ikhtilat seperti di bawah :
- Pertama - Harus kerana terpaksa (dhorurah)
- Kedua - Harus kerana keperluan (hajat)
Bagi keadaan yang kedua pula, ulama berkata bahawa hajat mengambil peranan dhorurah dalam mengharuskan perkara yang haram. Di sana dicatatkan beberapa keperluan yang dianggap mengharuskan ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Antaranya ialah :
- Ikhtilat kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarak. Harus bagi wanita bercampur dengan lelaki semasa berjual-beli, melakukan tawar-menawar, memilih barang dengan syarat tidak berlaku khulwat (berdua-duaan) dan memelihara adab-adab pergaulan.
- Ikhtilat kerana melakukan kerja kehakiman. Wanita harus menjadi hakim dalam perkara selain hudud di sisi Hanafiah dan dalam semua perkara di sisi az-Dzohiriah dan Imam at-Tobari. Sudah termaklum kerja seperti ini mengundang percampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada pendakwa, tertuduh, saksi dan lain-lain.
- Ikhtilat kerana menjadi saksi kerana Islam mengharuskan wanita menjadi saksi dalam kes berkaitan dengan harta dan hak-haknya. Hal ini demikian kerana menjadi saksi akan mendedahkan diri kepada percampuran dengan lelaki ajnabi.
- Ikhtilat kerana amar makruf nahi munkar. Ibnu Hazmin telah menyebutkan dalam kitabnya al-Muhalla' bahawa Umar al-Khattab RA telah melantik as-Syifa' menjadi penguatkuasa perbandaran. Sudah tentu beliau akan bercampur dengan lelaki ketika menjalankan tugasnya.
- Ikhtilat kerana melayan tetamu. Harus bagi wanita melayan tetamu bersama suaminya dan jika ada alasan yang syar'ei seperti tujuan memuliakan tetamu dan sebagainya walaupun terpaksa bercampur dengan tetamu. Dalam hadis Bukhari, ada diriwayatkan bahawa Ummu Usaid melayani Rasulullah SAW dengan menghidangkan makanan dan menuangkan minuman untuk baginda SAW.
- Ikhtilat kerana memuliakan tetamu jika perlu makan bersamanya. Harus bagi wanita makan bersama tetamu kerana tujuan memuliakan tetamu atau tujuan lain yang syar'ei. Muslim meriwayatkan kisah satu keluarga yang ingin memuliakan Rasulullah SAW dan bertamukan baginda. Oleh kerana makanan yang sedikit, mereka memadamkan api dan memperlihatkan bahawa mereka makan bersama-sama banginda. Ini bererti bahawa orang Ansor dan isterinya itu duduk bersama tetamu untuk makan bersama walaupun mereka tidak makan kerana mereka mengutamakan tetamu.
- Ikhtilat dalam kenderaan awam. Harus bagi wanita keluar rumah kerana menunaikan kerja-kerjanya yang diharuskan walaupun terpaksa bercampur dengan lelaki ajnabi seperti keluar untuk menziarahi dua ibu-bapanya, membeli-belah dan ke hospital meskipun ia terpaksa menaiki kenderaan awam yang menyebabkan berlaku percampuran dengan penumpang lain dari kalangan lelaki ajnabi. Dia mungkin duduk atau berdiri ditepinya. Percampuran ini diharuskan oleh keperluan yang syar'ei.
- Ikhtilat kerana kerja-kerja jihad. Antara contoh pergaulan sewaktu jihad ialah seperti membawa air, merawat pesakit dan seumpamanya. Semua perkara tersebut adalah harus dilakukan oleh wanita kerana maslahah syariah. Bukhari menyebut dalam sahihnya daripada Ar Rabei binti Muawwiz katanya : Kami bersama Rasulullah SAW merawat pesakit, memberi minum dan menghantar jenazah yang terbunuh ke Madinah.
- Ikhtilat untuk tujuan belajar atau mendengar nasihat. Antara suasana yang diharuskan, ikhtilat dengan tujuan mengajar agama kerana Bukhari meriwayatan bahawa Rasulullah SAW keluar pada satu Hari Raya dan sembahyang dua rakaat. Setelah selesai solat baginda berpusing mengarah wanita. Baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka bersedekah dan ketika itu bersama baginda SAW ialah Bilal bin Rabah.
- Ikhtilat dalarn suasana yang telah menjadi adat kebiasaan. Tersebut dalarn kitab Muwatta'. Persoalan adakah harus bagi wanita makan bersama hamba atau lelaki bukan mahramnya? Berkata Malik : Tidak ada halangan pada perbuatan tersebut, jika dalam ruang uruf bahawa wanita makan bersama lelaki tersebut. Kadang-kadang wanita makan bersama suami dan mereka yang sering makan bersama suaminya. Antara contoh yang berlaku pada zaman ini ialah percampuran sewaktu menziarahi sanak saudara atau rakan taulan. Dalam suasana yang seperti ini akan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu bilik, makan pada satu meja dan sebagainya. Ini semua diharuskan selama terpelihara adab-adab.
![]() |
| ✿✿ Batasilah Ikhtilatmu ✿✿ |
Jaga serta batasilah diri kita dengan mengamalkan beberapa adab ikhtilat. Antara adab ikhtilat dalam Islam ialah :
- Tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan.
- Tidak melihat perempuan atau lelaki secara mengamati dan menaikkan syahwat.
- Memelihara aurat dan kehormatan. Aurat lelaki adalah antara lutut dan pusat manakala aurat perempuan adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan.
- Tidak mengeluarkan kata-kata keji, lucah atau menunjukkan tingkahlaku yang mendorong kepada melakukan maksiat.
- Tidak berdua-duaan terutama di tempat sunyi dan gelap.
![]() |
| ✿✿Katakan Tidak Pada Pergaulan Bebas ✿✿ |
Wahai kaum muslimin dan muslimat sekalian, berhati-hatilah kamu dalam berurusan sesama berlainan jantina. Boleh jadi urusan kamu mendapat keredhaan Ilahi atau mendapat yang sebaliknya yakni kemurkaanNya. Oleh hal yang demikian, janganlah kamu meremeh-temehkan hal ikhtilat.
Katakan tidak pada pergaulan bebas sama ada yang bersederhana atau pun yang melampaui batasan syarak. Sayangilah agama kita. Sesungguhnya setiap undang-undang dan hukum-hakam yang diperintahkan ke atas diri kita itu merupakan kebaikan untuk diri kita juga. Jadi, percayailah Tuhan kita. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.
Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mendaoat mardhatillah dan syurgaNya yang abadi. Jangan sia-siakan usia kita dengan perkara yang tidak diredhai Ilahi. Ketahuilah bahawa hidup dan mati kita hanya untukNya. Jadi, marilah sama-sama kita memuhasabah diri kita ke arah kebaikan. Semoga kita semua menjadi insan soleh dan solehah yang muslih dan memuslihkan. InsyaAllah.
Mar 29, 2013
Mar 10, 2013
Pohon Kebahagiaan
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya :
"Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa." (Riwayat Ibnu Hibban)
Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen asas yang penting iaitu:
- Wanita yang solehah- iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.
- Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.
- Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain.
- Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.
Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.
وَٱبۡتَغِ فِيمَآ ءَاتَٮٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡأَخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡيَاۖ وَأَحۡسِن ڪَمَآ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِى ٱلۡأَرۡضِۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ
Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.
(Surah Al-Qasas 28: Ayat Ke 77)
Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.
(Surah Al-Qasas 28: Ayat Ke 77)
Jan 27, 2013
Kem Usrah Profesional 2013
Pada 18-20 Januari 2013 yang lepas, telah diadakan kem Usrah Profesional (UP) di Dewan Ibnu Abbas, SMKA SHAMS. Kem ini telah dijalankan oleh Akademi Latihan Al-Fateh yang dikendalikan oleh moderatornya, iaitu Che' Mat serta murabbi-murabbi.
Sepanjang Kem UP berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memastikan para nuqaba' mendapat latihan yang secukupnya dan memberi keyakinan kepada mereka untuk mengendalikan usrah dengan berkesan.
Pada 20 Januari 2013 iaitu hari Ahad, setelah selesai perbincangan modul usrah , majlis penutup dilangsungkan. Majlis ini dirasmikan oleh Penolong Kanan HEM, Puan Asmah bt Abdul Rahim. Sebelum bersurai, salam ukhwah dilakukan antara nuqaba'. Wajah-wajah penuh perjuangan dapat dilihat hasil daripada kem tersebut.
Semoga para nuqaba' berjaya mengetuai usrah dan memberi kesan dakwah dan tarbiyyah kepada setiap ahli usrah seterusnya meningkatkan tahap sahsiah dalam kalangan pelajar SMKA SHAMS.
Jan 26, 2013
Mencintai Rasulullah S.A.W
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,
Sempena Maulidur Rasul, Mari kita mendalami cinta Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW adalah utusan Allah SWT, dan baginda adalah manusia yang sempurna, akhlak-Nya begitu mulia sekali. Tidak ada manusia yang sempurna sesempurna baginda Muhammad SAW.
Mungkin selama ini kita jauh untuk mencintai baginda, mungkin selama ini kita tidak mengetahui, dan mungkin kita leka dan lalai terhadap duniawi kita selama ini.. Mungkin selama ini kita tidak jadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikon dalam kehidupan kita malah kita jadikan selain Nabi Muhammad SAW sebagai ikon kita selama ini..
Tidakkah kita semua rase bersalah dan berdosa kepada Allah SWT kerana kita lupa kepada-Nya..dan mungkin kita lupa kepada utusan-Nya Nabi Muhammad SAW?? Sedangkan Rasulullah S.A.W itu sentiasa mengingati dan merindui kita sehingga terdapat suatu kisah..
Suatu hari.. Nabi Muhammad SAW bertanya :
"Siapakah hamba Allah yang mulia?"
Sahabat menjawab :
"Para malaikat Ya Rasulullah"
Sahabat yang lain :
"tentulah para nabi, merekalah yang mulia"
Nabi tersenyum lalu berkata :
"Ya, mereka mulia, tetapi ada yang lebih mulia"
Para sahabat terdiam lalu berkata :
"Adakah kami yang mulia itu Ya Rasulullah"
Nabi berkata :
"Tentulah kalian mulia, kalian dekat denganku, tapi bukan kalian yang aku maksudkan"
Nabi menundukkan wajahnya, baginda menitiskan airmata sehingga membasahi pipi dan janggutnya, lalu berkata :
" Wahai sahabatku, mereka adalah manusia-manusia yang lahir jauh setelah wafatnya aku, mereka terlalu mencintai Allah & tahukah kalian, mereka tidak pernah melihatku, mereka tidak dekat denganku seperti kalian, mereka sangat rindu kepadaku dan saksikanlah wahai sahabatku bahawa AKU SANGAT RINDU PADA MEREKA.. MEREKALAH UMMATKU! UMMATI! UMMATI! UMMATI!"
Sedarlah wahai umat Muhammad SAW. Hidup kita hanya sekali dan kita tidak tahu bila kita akan kembali kepada Allah SWT. Semoga hidup kita sekali ini memberi maafat dan kita gunakannya sebaik-baik mungkin supaya kita tidak menyesal diakhirat nanti. Bangkitlah wahai umat Muhammad SAW semoga kita menjadi umat yang terunggul didunia dan akhirat kelak. Amalkanlah sunnah serta Al-Quran.. InsyaAllah pasti akan berjaya didunia mahupun diakhirat.
Jadi marilah kita bersama-sama untuk mencintai baginda Muhammad SAW. Berselawatlah kepada baginda. Semoga kita mendapat syafaat-Nya diakhir akhirat InsyaAllah..
Wahai orang-orang yang beriman, teruskan perjuanganmu untuk mencari keredhaan Allah SWT.
Alhamdulillah, jikalau kita sudah sedar, marilah kita bersama-sama mencari keredhaan Allah SWT dan mencintai Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah kita pasti akan berjaya :)
Dan jangan lupa berkasih sayanglah sesama insan dan tolong menolong antara satu sama lain..We will be the greatest of Ummah, InsyaAllah..
Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah :)
Nov 30, 2012
Video- Basuh Pinggan
Mari kita sama-sama ambil input-input yg berguna dalam video ni memandangkan sekarang ni pun cuti sekolah. Jom layan....
Nov 15, 2012
Oct 30, 2012
Roh Pengorbanan Dalam Jiwa Insan
Remaja dan Pengorbanan
i-Masa lalu
Antara faktor kejayaan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang penuh dengan kisah perjuangan dan pengorbanan dalam segenap sudut adalah dengan kehadiran jiwa-jiwa remaja disekeliling dakwah baginda. Jiwa yang mendidih dengan pelbagai perasaan. Cinta dan kasih sayang. Tingginya semangat dan miliki tubuh yang kuat.
Rasulullah s.a.w. sendiri pada masa mudanya mengorbankan masa keremajaanya demi untuk berdikari tanpa menyusahkan bapa saudaranya dengan mengembala kambing dan membawa barang dagangan Saidatina Khadijah untuk diniagakan. Lihat pula anak remaja, Saidina Ali terlibat dalam perjuangan dan pengorbanan terhadap menegakkan risalah kebenaran. Beliau sanggup menjadi galang ganti di tempat tidur Rasulullah s.a.w. sewaktu Nabi memulakan misi hijrah bersama Abu Bakr.
Dalam medan peperangan Usamah Bin Zaid pemuda yang tiada tandingan. Dengan kecekapan dalam pimpinan dan ketajaman strategi peperangan beliau diangkat menjadi panglima perang meski dalam usia muda belumpun cukup 20-an. Teliti pula zaman terkemudian, kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh memimpin bala tentera yang ramai hingga berjaya menerobos tembok kota Constantinople dalam pada usia yang juga muda. Pastinya, perkara yang sama bagi kejayaan tokoh-tokoh ini adalah pengorbanan jiwa mereka untuk bersedia bagi membina peribadi yang boleh menjadi satu nilai contoh pada manusia seterusnya.
ii-Masa Kini
Era globalisasi kini, kita boleh lihat sendiri keadaan remaja kita yang begitu meruncingkan. Walaupun bukanlah ia bersifat kepada seluruh remaja, tetapi perjalanan hidup remaja hari ini bagai tiada tujuan yang jelas. Hidup dipenuhi dengan kelalaian dalam urusan keduniaan, dibuai hangatnya perasaan dan pelbagai onar yang menjauhkan manusia dengan Tuhan. Sedangkan Allah berfirman:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adz-Zariyat:56)
Justeru, menghidupkan jiwa pengorbanan dalam diri adalah suatu tuntutan kerana manusia dicipta bukan untuk berseronok dan berehat semata-mata tetapi melakukan ibadah yang mencakupi ruang lingkup yang mendalam maksudnya. Realiti hidup mewah, selesa dan cukup dengan apa yang ada merupakan satu bentuk jajahan minda yang boleh menjadikan remaja alpa dengan sensitiviti keadaan,batasan pergaulan dan hiburan serta gaya hidup.
Remaja boleh memilih untuk terus unggul dalam cita-cita dan perjuangan hidup. Dan remaja juga boleh memilih untuk terus dibelenggu dengan jiwa santai, tiada perancangan hidup, kerdil cita-cita dan tandus dengan jiwa perjuangan. Pilihan ini sebenarnya penting kerana ia menentukan corak hidup remaja, bangsa dan umatnya.
Tahap keremajaan adalah putaran hidup yang amat sukar lagi mencabar kerana gejolak jiwa remaja bagai api yang membakar kayu menjadi bara. Dalam situasi ini remaja amat ideal dengan sesuatu perkara, ingin meniru sesuatu perbuatan yang mana dalam fikirannya baik yang boleh menonjolkan dirinya, rasa ingin mencuba yang tinggi dan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan, memiliki jiwa perwira yang hebat malah kadang-kadang diselangi perasaan ‘memberontak’ yang membuak-buak.
Sekiranya elemen asasi ini berada dalam olahan yang negatif ia bakal merosakkan potensi remaja. Sebaliknya jika elemen ini diadun dengan nilai-nilai perjuangan dan pengorbanan yang positif, ia bakal membimbing remaja menjadi tenaga dewasa yang mempunyai potensi besar untuk maju dan berjaya.
Kepentingan jiwa pengorbanan perlu ada hubungkait dengan bagaimana remaja memusnahkan kehidupannya dalam usia umur yang awal kerana kesan jangka panjangnya ialah kehancuran bangsa dan negaranya sendiri bahkan lebih teruk melibatkan agama. Jiwa pengorbanan harus dapat mengajak remaja berfikir betapa dominannya generasi muda yang berkredebiliti, memiliki daya juang yang tinggi, pentingkan ilmu pengetahuan, tidak mudah terhanyut dengan arus hidup yang membinasakan,serta berupaya membezakan baik-buruk dan halal-haram.
Pengorbanan dua hala
Pengorbanan dua hala adalah hubung balas dua pengorbanan. Ibubapa dan anak-anak, masyarakat dan negara dan sebagainya.Dewasa kini, antara kes yang amat meruncingkan adalah hubungan anak-anak dengan ibubapa masing-masing. Melihat di dada akhbar berita anak mencaci orang tuanya, memukul hingga cedera tidak kurang ada juga yang membunuh mereka merupakan salah satu tanda kiamat semakin dekat.
Oleh itu, jiwa pengorbanan haruslah memandu remaja mengenang pengorbanan yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu seperti ibu bapa yang bersusah payah membesar dan memberi pendidikan kepada kita supaya remaja memahami bahawa mereka juga bakal meningkat dewasa dan generasi ini perlu diteruskan. Justeru, mereka akan lebih menghargai erti nilai pengorbanan kerana mereka juga bakal bergelar ibubapa.
Tidakkah kita pernah dengar rakaman Allah dalam Al-Quran menggambarkan kisah Ibrahim a.s menyembelih anaknya, Ismail a.s yang taat kepada ayahnya itu di mana keduanya redha dengan perintah Allah yang merupakan lambang keagungan suatu pengorbanan.
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (As-Saffat:102)
Jika terjun ke alam realiti, manusia akan sedari telah banyak pengorbanan ibubapa kepada anak-anak mereka. Masakan tidak, lihat anak-anak yang bisa hidup mewah, berupaya menyambung pelajaran ke luar atau dalam negara, berkebolehan meneruskan kehidupan adalah bersumberkan insan bernama ibu dan bapa. Justeru, sedarlah jiwa muda (anak-anak), susah tiba peribadi Ismail a.s disemat dalam jiwa iaitu dengan bersedia membalas segala jasa.
Jalan Keluar
Para remaja harus memiliki keinsafan bahawa kita diciptakan oleh Allah s.w.t. mempunyai visi dan misi yang perlu mereka laksanakan. Para remaja harus mampu membina jiwa kehambaan yang tinggi dengan mendidik jiwa patuh dan taat terhadap sesuatu yang baik dan bermanfaat. Allah menjadikan seluruh yang ada didunia ini bertunjangkan kepatuhan dan ketaatan masing-masing terhadap ketentuan-Nya atau sunnatullah.
Sehubungan itu, berlaku ketertiban, ketepatan, keseimbangan dan sistem dan hal yang sama juga harus ada pada manusia khususnya remaja supaya sesuatu yang kita lakukan adalah atas dorongan jiwa kehambaan yang tinggi supaya watak kekhalifahan nanti mampu mengurus hidup, rahmah dan nikmat Allah yang banyak dengan amanah yang tinggi terhadap pedoman dan titah perintah Allah s.w.t.
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” (Al-Baqarah:30)
Tujuan manusia adalah mentadbir alam atau disebut sebagai khalifah. Justeru, perkara yang mendidik jiwa (tazkiyatun nafs) amat dominan perlu dipupuk dalam jiwa remaja kerana mereka adalah asset yang amat bernilai yang menjadi agen perubahan bagi agama, bangsa dan negara.
Aspek pengorbanan dan kelebihan
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga” (At-Taubah:111)
Pengorbanan dalam kehidupan insan tidak dapat lari daripada dua faktor yang amat dicintai manusia iaitulah nyawa dan segala yang berkaitan dengannya (kehidupan) serta harta yang merupakan penjana bagi nyawa tersebut. Atas sebab itu, Al-Quran hanya menyebutkan dua elemen penting ini kerana menjadi tunggak kepada segala jenis pengorbanan insane
Natijahnya, kelebihan yang manusia bakal peroleh adalah syurga yang tidak tergambar nikmatnya, tidak pernah didengar oleh mana-mana telinga, tidak pernah terlihat pada pandangan mata. Begitulah gambaran ‘kemewahan’ bagi manusia yang cekal jiwa dan berusaha berkorban jiwa dan raga dalam kehidupan.
sumber; langitilahi.com
Sep 5, 2012
Erti Kemerdekaan Menurut Perpekstif Islam
Kemerdekaan menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:
الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله, ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة:
Maksudnya: Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.
Rub'ie bin Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.
Jika kemerdekaan bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?
Ini bermakna: maksud kemerdekaan yang sebenar ialah:
Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada:
Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya.
Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum allah swt bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.
Memerdekakan manusia daripada ikatan agama yang direka oleh manusia samada:
1. Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.
2. Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang
dibenarkan oleh Syariat.
Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:
1. Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat
persinggahan.
2. Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang
sebenar.
Dapat disimpulkan secara ringkas maksud kemerdekaan:
Membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia.
Membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan islam.
Selamat Menduduki Pra-SPM 2012.
Kepada semua calon SPM 2012, pihak BADAR mengucapkan SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM. Berusahalah selagi mana terdaya. Bertawakallah untuk hasil yang sempurna.
Sep 2, 2012
Aug 4, 2012
Maknakannlah Ramadan kita.
Bagaimanakah memaknakan Ramadhan?
Ramai menilai maksud memaknakan Ramadhan adalah dengan menyumbat pelbagai amalan di dalamnya. Saya tidak berkata itu salah. Namun saya memandang kepada skop yang lebih luas dan lebih besar. Apakah Ramadhan ini Allah SWT ciptakan agar ummat Islam menyumbat amal mereka sebanyak-banyaknya di bulan itu?
Ahsanu bukan Aksaru.
Allah SWT dengan jelas memberikan pesan kepada kita di dalam Surah Al-Mulk ayat 2:
“Dan Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan, untuk melihat dari kalangan kamu siapakah yang terbaik amalannya.”
Yang terbaik amalannya. Allah SWT menggunakan kalimah ahsanu. Bukan aksaru(terbanyak).
Justeru, hakikatnya, amal yang kemas, bermakna, memberikan kesan, adalah lebih baik kita usahakan untuk capai, berbanding kita gelojoh, tergesa-gesa menambah amalan namun amalan-amalan itu langsung tidak memberikan makna pada diri kita, seterusnya selepas Ramadhan langsung tidak memberikan kesan di dalam kehidupan kita.
30 juzu’ Al-Quran dan Beratus Rakaat Tarawih.
Di dalam Ramadhan, berlumba manusia menghabiskan 30 juzu’ Al-Quran. Bahkan ada yang khatam 2-3 kali. Begitulah juga resminya bulan Ramadhan, manusia bangkit menunaikan tarawih. Ada yang 8 Rakaat, ada yang 20 rakaat. Yang mana kalau didarab dengan 30 hari, menjadikan bilangan rakaat itu mencapai ratusan. Itu belum dikira dengan pelbagai amalan seperti menjauhi maksiat telinga, tangan, mata dan kaki, seterusnya melakukan amalan-amalan kebaikan yang lain seperti bersedekah, membantu orang, berselawat, solat fardhu, solat-solat sunat yang lain dan sebagainya.
Namun anehnya, kebaikan-kebaikan yang disumbat di dalam Ramadhan itu tidak memberikan kesan di dalam kehidupan kita hari ini. Keluar dari Ramadhan, kita seakan-akan manusia yang sama seperti sebelum kita masuk ke dalam Ramadhan. Sama. Seakan-akan 30 juzu’ Al-Quran tidak pernah kita baca, seakan-akan ratusan tarawih di dalam Ramadhan tidak pernah kita dirikan.
Kita masih menjadi seorang muslim yang pasif, yang tidak memberikan manfaat kepada Islam, yang jauh daripada Allah SWT, yang banyak melakukan keingkaran, yang menjadi hamba kepada sistem jahiliyyah, yang masih menyokong perkara-perkara yang melalaikan dan sebagainya.
Seakan-akan, graf ummat Islam itu, mencanak hanya kala Ramadhan, dan kemudiannya menjunam jatuh pada bulan-bulan yang lain.
Golongan Yang Celaka.
Menjadi manusia yang sebegini, sepatutnya kita rasa gentar dan takut. Kerana Rasulullah SAW ada bersabda:
“Telah datang Malaikat Jibril dan dia berkata: Celakalah seseorang yang masuk ke bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah Amin! Maka aku berkata: Amiin.” Hadith Riwayat Bukhari.
Ya. Bukan perkara yang kecil.
Sepatutnya kita masuk ke dalam Ramadhan, keluar menjadi hamba yang Rabbani. Namun kita hanya tahu menyumbatkan amal, melambakkannya, dan bila keluar dari Ramadhan, menjadi manusia yang seakan-akan Ramadhan tidak punya makna yang signifikan di dalam hidupnya pada 11 bulan yang lain. Bukankah itu sangat celaka?
Maka Kita Maknakan Ramadhan Kita.
Biarlah tarawih kita 8 rakaat, dan bacaannya tidak panjang. Tetapi kita memahami apa yang kita baca. Mendalami apa yang kita sebut. Biar ianya menjadi bekalan untuk lebih memahami mengapa Islam itu agama yang benar, dan mengapa kita perlu mengamalkannya sebagai cara hidup. Agar solat-solat kita memberikan makna dalam kehidupan kita, agar kita merasai ubudiyah, pengabdian diri kita kepada Allah SWT secara sebenar-benarnya.
Biarlah kita tidak habis 30 juzu’ Al-Quran, asalkan kita memahami apa yang kita baca. Kita memperbaiki tajwid kita. Kita baca dengan tartil dan faham. Agar ayat-ayat itu dapat memberikan kesan ke dalam kehidupan kita. Dapat memberikan kesedaran untuk menguatkan kita, untuk memotivasikan kita, agar terus rapat dengan Al-Quran selepas keluar dari Ramadhan.
Biarlah amal kita kelihatan sedikit, namun ianya adalah yang terbaik. Yang memberikan gegaran di dalam jiwa kita. Yang mampu menyedarkan kepada kita bahawa kita ini adalah hambaNya. Yang mengetuk hati kita, yang membuatkan kita hendak membawa perasaan ini ke 11 bulan yang lainnya.
Kita usahakan ibadah-ibadah dalam bentuk yang lebih produktif, seperti membuang keburukan(maksiat dan keingkaran) kita kepada Allah SWT. Jika kita kaki merokok, kita fokuskan kepada mengurangkan batang rokok kita dalam rangka hendak meninggalkan rokok. Jika kita kaki gossip, kaki berkata kotor dan sebagainya, kita target untuk meninggalkan perbuatan itu dengan menjadikan Ramadhan sebagai titik motivasi kita. Kita tambah juga amalan kita. Target Ramadhan ini, jika selama ini tidak biasa membaca Al-Quran, maka kala Ramadhan ini kita targetkan agar diri kita biasa membaca Al-Quran selepas maghrib. Sekurang-kurangnya satu muka surat. Jika sebelum ini Solat Fardhu kita tunggang langgang, kita memperbaiki disiplin kita terhadap solat fardhu. Jika Solat Fardhu sudah boleh didisiplinkan, kita tingkatkan kepada solat sunat rawatib, solat sunat dhuha, solat sunat taubat dan sebagainya untuk kita biasakan.
Semua ini nampak ringan. Namun jika berjaya dibiasakan, ia mudah dibawa keluar ke bulan-bulan yang lain selain Ramadhan, sekaligus membentuk diri kita menjadi hambaNya yang terbaik.
Pastikan diri ada peningkatan. Baik dalam tambahan amal kebaikan, atau pengurangan amal keburukan. Agar kecelakaan bukan menjadi milik kita.
Penutup: Meningkatkan Graf Ummah.
Kita sudah melalui berapa Ramadhan?
20 kali?
10 kali?
Satu soalan yang patut kita tanya selepas menjawab soalan itu adalah:
“Di manakah kesan belasan, puluhan Ramadhan itu, di dalam diri kita hari ini?”
Ya, soalan ini menyedarkan kita, seakan-akan Ramadhan tahun inilah Ramadhan pertama kita lalui. Sedang Ramadhan-Ramadhan yang berlaku seakan tidak pernah wujud. Mengapa? Kerana kita hanya pandai menyumbatkan amal di dalamnya, namun tidak menjadikan ianya bermakna buat kita.
Marilah kita melihat perkara ini semula. Jangan kita bazirkan lagi Ramadhan kita.
Jadikan Ramadhan kita kali ini, dan Ramadhan-Ramadhan hadapan sebagai Ramadhan yang bermakna.
Agar graf Ummah kita meningkat dan meningkat. Melalui Ramadhan bukan sekadar ikut-ikutan dan adat semata-mata. Melalui Ramadhan dengan faham, dengan penuh bermakna.
#Langitilahi.com
Aug 3, 2012
Jul 2, 2012
Rendahkanlah, tolonglah!
Hei kamu yang pandang dengan pandangan yg cukup tajam dekat diri,
perlu ka pandang macam tu sampai tak henti?
perlu ke, walaupun sudah 'kantoi' dengan diri?
tak ingatkah dalam suratan ilahi,
kamulah kaum yg pertama perlu peka dan tunduk lagi,
kamulah pencetus segala sangka yg akan datang tanpa henti,
kamulah.. perlu berjaga-jaga sebelum terlambat lagi!
bukan nak perasan, tapi serabutlah.. tak suka lah, boleh katakan!
kalau nak tengok pun, 'cover' pun tak reti kah?
kalau nak pandang pun, berjaga-jagalah pada yg Maha memerhati..
kalau nak buat pun, berhati-hatilah, semua kan panahan syaitan yg ingin binasakan diri?
kalau suka tahap manu pun, perlu berjaga kan?
kalau minat sangat, kenapa tak rahsiakan?
sebab memang kamu tak bersedia lagi kan?
jadi, jangan bermain tepi longkang tu, boleh kan?
takut jatuh, tak boleh bangkit pula.. macam mana nak selamatkan?
sekurang-kurangnya nanti tak ada yg suka perasan lagi,
"Eh, dia tengok aku pelik lah.. banyak kali pulak tu.. dia suka ke dekat aku?"
dan lebih kurang akan rasa macam ni lah,
"Eh, dia tak suka kot dekat aku.."
dan akan mengelakkan kaum hawa daripada membuahkan harapan,
sedang yg di sana masih suka lagi, kan?
kenapa tak biar jadikan kejutan?
kenapa tak simpan dan rahsiakan?
bukankah itu menunjukkan ketulusan?
mahu hanya Dia sahaja mengetahui, supaya suatu hari nanti..
akan dapat berkat & redha di sini,
supaya hidup bahagia bersama tak lama lagi.. mungkin?
jadi tolonglah rendahkan pandangan,
supaya mengelak daripada fitnah,
serta dapat cegah daripada syaitan,
yg akan buat manusia jadi punah.
jagalah pandangan, supaya kamu dihormati dan disanjungi oleh bidadari di langit,
yg sedang menunggumu di sana.. tanpa henti.
jagalah pandangan, kerana kamu pasti, akan dapat habuanNya di sisi Tuhan.. yg dekat di sisi, bagi siapa yg bersabar dalam menanti..
baru-baru ni agak tak tenang hati,
boleh tak diri luahkan di sini? sebab, perkara ini suka orang remehkan, sedang sudah ditegur oleh Allah sendiri. .tapi masih mahu buat tanpa henti..
dan diri cukup pantang kpd yg suka mengusya tanpa henti, tanpa segan silu, yg ada Dia yg memerhati..
sebab cara itulah, boleh jadi refleksi iman di hati.
perlu ka pandang macam tu sampai tak henti?
perlu ke, walaupun sudah 'kantoi' dengan diri?
tak ingatkah dalam suratan ilahi,
kamulah kaum yg pertama perlu peka dan tunduk lagi,
kamulah pencetus segala sangka yg akan datang tanpa henti,
kamulah.. perlu berjaga-jaga sebelum terlambat lagi!
bukan nak perasan, tapi serabutlah.. tak suka lah, boleh katakan!
kalau nak tengok pun, 'cover' pun tak reti kah?
kalau nak pandang pun, berjaga-jagalah pada yg Maha memerhati..
kalau nak buat pun, berhati-hatilah, semua kan panahan syaitan yg ingin binasakan diri?
kalau suka tahap manu pun, perlu berjaga kan?
kalau minat sangat, kenapa tak rahsiakan?
sebab memang kamu tak bersedia lagi kan?
jadi, jangan bermain tepi longkang tu, boleh kan?
takut jatuh, tak boleh bangkit pula.. macam mana nak selamatkan?
sekurang-kurangnya nanti tak ada yg suka perasan lagi,
"Eh, dia tengok aku pelik lah.. banyak kali pulak tu.. dia suka ke dekat aku?"
dan lebih kurang akan rasa macam ni lah,
"Eh, dia tak suka kot dekat aku.."
dan akan mengelakkan kaum hawa daripada membuahkan harapan,
sedang yg di sana masih suka lagi, kan?
kenapa tak biar jadikan kejutan?
kenapa tak simpan dan rahsiakan?
bukankah itu menunjukkan ketulusan?
mahu hanya Dia sahaja mengetahui, supaya suatu hari nanti..
akan dapat berkat & redha di sini,
supaya hidup bahagia bersama tak lama lagi.. mungkin?
jadi tolonglah rendahkan pandangan,
supaya mengelak daripada fitnah,
serta dapat cegah daripada syaitan,
yg akan buat manusia jadi punah.
jagalah pandangan, supaya kamu dihormati dan disanjungi oleh bidadari di langit,
yg sedang menunggumu di sana.. tanpa henti.
jagalah pandangan, kerana kamu pasti, akan dapat habuanNya di sisi Tuhan.. yg dekat di sisi, bagi siapa yg bersabar dalam menanti..
*******
baru-baru ni agak tak tenang hati,
boleh tak diri luahkan di sini? sebab, perkara ini suka orang remehkan, sedang sudah ditegur oleh Allah sendiri. .tapi masih mahu buat tanpa henti..
dan diri cukup pantang kpd yg suka mengusya tanpa henti, tanpa segan silu, yg ada Dia yg memerhati..
sebab cara itulah, boleh jadi refleksi iman di hati.
lemah, kuat atau masih goyah?
*sumber : http://sshhhhh.blogspot.com/
Subscribe to:
Posts (Atom)











